6IXTH Sense rahsiakan lagu yang akan dibawa.
6IXTH Sense rahsiakan lagu yang akan dibawa.
Oleh Syafil Syazwan Jefri


6ixth Sense bukanlah asing dalam arena muzik tempatan. Lagu popular mereka seperti Tak Bisa Memilihmu, Tanpa dan Khatimah Cinta sentiasa menjadi siulan ramai dan kerap dimainkan di stesen radio.

Band yang dianggotai Adi, Gije, Wan, Ayoy dan Athan ini bakal menggegarkan Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro di pekarangan Stadium Darulaman, Alor Setar, Kedah bermula jam 9 malam esok.

Ia adalah konsert sempena sambutan ulang tahun ke-25 Harian Metro.

“Kami sudah bersedia dan melakukan sesi latihan sejak beberapa hari lalu. Rasanya, tidak sabar untuk tampil menghiburkan peminat di Kedah,” kata penyanyinya, Adi.

Menurut Adi, mereka menyampaikan tiga lagu termasuk single terbaru mereka berjudul Selamat Tinggal Cinta.

“Dua lagi lagu masih dirahsiakan. Kalau anda ingin tahu lagu apa yang kami sampaikan, anda perlu bersama-sama hadir ke konsert itu,” katanya.

Menurutnya, ini bukan kali pertama 6ixth Sense tampil membuat persembahan di Kedah.

“Sebelum ini pernah beberapa kali kami ke sana dan sambutan daripada peminat di Kedah memang tidak pernah mengecewakan,” katanya.

Selain 6ixth Sense, konsert ini turut dijayakan Maya Karin, Dayang Nurfaizah, Indah Ruhaila dan Sandra.

Selain konsert, pelbagai aktiviti turut diadakan antaranya Sukaneka Harian Metro, jualan trak makanan, jualan cenderahati, peraduan mewarna kanak-kanak dan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah menarik di lokasi sama bermula jam 4 petang.

Antara hadiah yang ditawarkan untuk cabutan bertuah tajaan Yeos itu adalah set TV, Samsung Galaxy Tab, Samsung Galaxy J1 Ace dan lima Air Cooler.

Selain konsert, 6ixth Sense bersama Maya Karin, Indah Ruhaila dan Sandra juga mengadakan sesi beramah mesra dengan peminat di pasar raya Mydin, Taman Saga, Alor Setar bermula jam 8 hingga 9 malam ini.

Selepas Alor Star, lokasi seterusnya untuk siri jelajah ini adalah di Tanjung Mas, Muar, Johor (18 dan 19 Mac) diikuti Padang MPK3, Kuantan, Pahang (25 dan 26 Mac), Fan City Mall, Miri, Sarawak (15 dan 16 April) dan berakhir di Padang Merdeka, Kuching, Sarawak pada 23 dan 24 April.

Kemuncak program dimeriahkan dengan penganjuran Konsert Ledakan 25 Tahun Harian Metro pada 2 dan 3 April di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur membabitkan persembahan penyanyi terkenal tanah air seperti Datuk Jamal Abdillah, Ella, Amy Search, XPDC, Siti Nordiana, Ezad Lazim, Ayda Jebat dan ramai lagi.

Siri Jelajah 25 Tahun Harian Metro dan Konsert Ledakan 25 Tahun Harian Metro turut dijayakan bersama rakan penaja termasuk Yeo Hiap Seng Trading Sdn Bhd, Malaysia Airlines Berhad, Cactus, Unilever Food Solutions, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, GCH Guardian, Bank Rakyat, Grab, DRB-Hicom University of Automotive Malaysia dan AmBank Group.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2016 @ 11:52 AM