Cik Pang

Sejak sibuk mengarah filem terbaru produksinya, KL Wangan dan waktu sama mengikuti pengajian pengurusan industri kreatif peringkat ijazah sarjana muda, Pekin Ibrahim memang sibuk.

Cik Pang sendiri sudah lama tidak bertemu dengan Pekin dan boleh dikatakan hampir berbulan lamanya.

Bagaimanapun, baru-baru ini teman Cik Pang berkongsi cerita gembira mengenai Pekin dan kekasih hatinya.

Umum sudah pun mengetahui yang Pekin kini hangat bercinta dengan gadis kelahiran Jerman dan kini menetap di London.

Kata teman Cik Pang, Pekin memberitahunya yang kekasih hatinya memeluk Islam dan dia sudah membawa gadis yang berjaya memenangi hatinya itu bertemu ahli keluarganya.

Mendengar apa yang dikongsi teman, Cik Pang memanjatkan syukur dan tumpang gembira bagi pihak teman-teman lain. Bertambah umat Rasulullah SAW.

Apabila Pekin menyampaikan berita gembira itu nampaknya tidak lama lagi, Pekin akan bernikahlah?

Tak mungkin dia mahu menunggu lebih lama lagi, selepas kekasih hatinya sudah bertemu keluarganya dan kini bergelar Muslimah.

Kata teman Cik Pang, memang Pekin ada perancangan dan kemungkinan dalam tahun ini juga dia mahu bernikah.

Cuma dia kalau boleh mahu menyelesaikan terlebih dulu segala kerjanya terutama filem KL Wangan yang bakal ditayangkan selepas Aidilfitri nanti.

Kongsi Pekin lagi, dalam waktu sama dia juga ada perancangan kemungkinan mahu bernikah terlebih dulu dan majlis resepsi akan dibuat kemudian selepas filemnya ditayangkan.

Tidak kisahlah Pekin, mana-mana pun boleh. Apa yang penting, Pekin dan wanita yang berjaya memenangi hatinya gembira dan berbahagia kelak dengan keputusan diambil. Itu juga doa Cik Pang buat Pekin dan bakal pasangannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2017 @ 5:05 AM