Johor Bahru: Kapten Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak percaya kemampuan dan pengalaman dimiliki Mohd Amri Yahyah dan Mohd Safiq Rahim berupaya membimbing rakan sepasukan di final nanti.

Kedua-dua pemain berada dalam pertimbangan Bojan Hodak untuk menggalas tanggungjawab ditinggalkan Aidil Zafuan.

Aidil, pertahanan tengah dan kanan Johor DT tidak dapat diturunkan untuk aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini susulan penggantungan kad kuning.

“Kedua-duanya mempunyai pengalaman. Sesiapa yang terpilih tiada masalah. Kapten perlu menunjukkan semangat, baru pemain lain turut bersemangat.

“Tiada nasihat perlu saya berikan kerana mereka sudah biasa memainkan peranan ini. Mereka tahu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan,” katanya.

Amri dan Safiq jelas mempunyai kredibiliti dan corak kepimpinan sendiri di dalam dan luar padang selain sentiasa mempamerkan komitmen 100 peratus dalam permainan.

Bojan ketika ditemui semalam menjelaskan akan membuat keputusan mengenainya Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:10 AM