Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Punca kelewatan keputusan ujian doping pelumba trek negara Mohd Shah Firdaus Shahrom yang disahkan menggunakan bahan terlarang ketika Sukan Malaysia (SUKMA) Perlis tahun lalu disebabkan makmal di India terlepas pandang ujian itu.

Ia didedahkan Ketua Unit Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) Nishel Kumar yang mengandaikan situasi itu berlaku kerana pihak makmal terlebih dulu menghantar keputusan awal tiga sampel pada September yang membabitkan tiga atlet di SUKMA Perlis.

“Kami tidak pernah terima keputusan ujian Shah Firdaus dan hanya mengetahuinya apabila Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) bertanya tentang status pelumba itu Februari lalu.

“Ia menimbulkan persoalan dan kami menghubungi makmal yang kemudiannya disusuli keputusan ujian Shah Firdaus menerusi e-mel. Ujian bertarikh Jun tahun lalu, saya percaya mereka terlepas pandang untuk menghantar keputusan kepada kami kerana tiga keputusan awal positif membabitkan atlet lain sudah dihantar,” kata Nishel.

Pelumba berusia 20 tahun itu digantung 18 bulan oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) susulan penggunaan dexamethasone dengan hukuman bermula pada tarikh sampel air kencing diambil, 31 Mei tahun lalu.

Bagaimanapun, jurulatih Firdaus Daud menerusi laporan Arena Metro sehari sebelum sesi pendengaran mempersoal keputusan lewat diumumkan ADAMAS dengan Ketua Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Ramlan Abd Aziz menjelaskan mereka tidak mengeluarkan sebarang kenyataan terhadap kes sedang berjalan.

“Perkara ini berlaku kerana WADA dan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) menggunakan Sistem Pengurusan dan Pentadbiran Anti-Doping (ADAMS) dengan makmal itu melaporkan maklumat di dalamnya. Bagaimanapun, kita tidak gunakan sistem itu untuk mendapatkan keputusan, sebaliknya mendapatkannya daripada makmal menerusi faks atau e-mel.

“Kami tidak mempunyai motif melewatkan keputusan ujian kerana ia tidak memberikan sebarang manfaat kepada mana-mana pihak,” jelas Nishel.

Insiden menyebabkan ADAMAS mendapat kebenaran daripada kerajaan untuk menggunakan sistem itu dalam tempoh sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 7:59 AM