10,000 kunjungi Propaganda Fest edisi ke-5.0.
10,000 kunjungi Propaganda Fest edisi ke-5.0.
Oleh Nor Akmar Samudin

Hampir 10,000 pengunjung datang ke Propaganda Fest edisi ke-5.0 yang diadakan di Rasta Taman Tun Dr Ismail, baru-baru ini. Masih menerapkan elemen fesyen jenama tempatan dan muzik, Pengarah Projeknya, Ashraf Amir, berpuas hati kerana setiap kali dia menganjurkan pesta beli-belah itu, sambutan diterimanya amat bagus.

Kata Ashraf, pemilihan vendor kali ini agak selektif kerana Propaganda Fest ingin membawa kelainan berdasarkan kualiti produk yang dijual mereka. Antara vendor yg turut serta Mumu Scarves, The Geroboc, Kaleerful, Psychedelic, Furby and Sugar, Neddy Blossom, Dewi Diary, Fashion Republic KL, dan All About Casing.

“Saya bukanlah terlalu cerewet, tetapi tujuan saya agar vendor sentiasa mementingkan kualiti produk demi menjaga nama baik mereka sendiri. Jangan berniaga tangkap muat saja kerana pembeli hari ini walaupun mereka mencari barangan pada harga berpatutan, namun kualiti tetap diutamakan.

“Lantaran itu, vendor mesti peka dan menyeimbangkan kualiti serta harga barangan. Pun begitu, ada pelanggan yang tidak begitu berkira mengenai harga asalkan mereka berpuashati dengan produk ditawarkan.

“Vendor mestilah berfikir masa depan perniagaan mereka dan bukannya berniaga secara bermusim saja,” katanya.

Jelas Ashraf lagi, kebanyakan vendor kali ini berpengalaman dan pernah memasuki Propaganda Fest edisi 1.0. Bagi memeriahkan lagi acara beli-belah dua hari itu, turut diundang artis terkenal tempatan seperti Sheira Aiyob, Cat Farish, Tiga Swagger, Epul Drama Band dan Adzrin Adzhar.

“Melihatkan jumlah pe-ngunjung yang amat baik, ia perkembangan yang positif kepada penganjur macam saya,” katanya.

Pada 30 dan 31 Mei ini, Ashraf akan mengadakan pula Karnival Mega Food di Dataran Kemerdekaan Shah Alam yang akan menghimpunkan pelbagai menu khusus dari negeri Selangor.

Sekali lagi pada 4 dan 5 Julai nanti, Ashraf akan menganjurkan Propaganda Fest Edisi 6.0 di ibu kota.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 12:35 PM