FESTIVAL sasar 70,000 pengunjung hadir setiap hari.
FESTIVAL sasar 70,000 pengunjung hadir setiap hari.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Setelah hampir setahun mencetuskan fenomena festival fesyen, Mood Republik tampil dengan Mood Republik Tour Kelantan yang bakal berlangsung pada 4 April 2015 di Hotel Grand Riverview, Kota Bharu. Temasya yang dianjurkan selama sehari bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah malam menampilkan 100 jenama dalam talian popular negara.

Antaranya Aidijuma, Radiusite, Cala Qisya, Sugarscarf, Jubahsouq, Zawara, Dreemika, Blossom Box Store, Minaz, Rina Salleh Clothing, Imaan Boutique, Liyana Jasmay, LeunieyNatasha dan Allya Mysara.

Mood Republik yang mempunyai kepakaran membantu usahawan menjalankan jualan dan mempromosikan produk mereka kini menyediakan platform premium dengan sasaran pengunjung melebihi 70,000 orang dalam satu hari. Festival kali ini edisi ketiga siri jelajah Mood Republik Tour selepas Terengganu dan Pulau Pinang.

Diasaskan dua rakan niaga yang juga sahabat karib Kimi Iskandar Ismail dan Yusri Ismail, misi penubuhan Mood Republik sangat jelas, iaitu menambah nilai kehidupan lebih ramai insan yang memerlukan melalui sumbangan amal daripada usahawan pada setiap festival. Setakat ini, hampir RM500,000 disumbangkan kepada organisasi tempatan dan antarabangsa.

Antara penerima sumbangan adalah Rohingya Education Centre (REC), Madrasah An-Nur Kemboja, Yayasan Al Ijabah dan Pusat Jagaan Anak-anak Istimewa Seremban. Mood Republik juga menyalurkan bantuan bagi pembinaan madrasah di negara bergolak Tanzania, yang dikelolakan selebriti dan pengacara terkenal, Ahmad Fedtri Yahya.

Siri jelajah Mood Republik Tour diwujudkan bagi memenuhi permintaan peminat fesyen di luar lembah klang untuk turut sama merasai tsunami dan fenomena festival melalui penganjuran dua temasya utama iaitu KL Raya Fest dan KL Year End Sale Fest yang diadakan di lokasi berprestij iaitu Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Kelantan adalah destinasi ketiga selepas berlangsungnya edisi sulung jelajah Mood Republik Tour Terengganu pada 13 November 2014 dan Mood Republik Tour Penang pada 21 Februari 2015 yang lalu. Mood Republik kini merangka beberapa lagi siri jelajah iaitu di Pahang (30 dan 31 Mei 2015), Terengganu (31 Oktober 2015) dan Johor (28 dan 29 November 2015). Selain di Malaysia, mereka juga sedang mengaturkan penganjuran Mood Republik Tour London yang disasarkan pada penghujung Disember 2015.

Orang ramai terutama penduduk sekitar Kota Bharu tidak harus melepaskan peluang berkunjung dan merasai kehangatan festival istimewa ini. Walaupun era cukai barangan dan perkhidmatan (GST) melanda, setiap jenama pada edisi kali ini menjanjikan tawaran harga yang menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2015 @ 5:02 AM