Melihatkan kasih sayang terjalin antara artis ini dan pasangannya, SS hanya mampu tersenyum serta tumpang bahagia.

Bukan apa, pernah juga ada cerita dicanang ke pengetahuan SS yang mendakwa hubungan artis ini dan pasangannya sudah berakhir gara-gara orang ketiga.

Namun, melihatkan keintiman mereka ketika terserempak di pusat beli-belah baru-baru ini, barangkali apa yang berlaku itu sekadar bergaduh manja.

Ini kerana, takkanlah sudah berpisah, tetapi boleh lagi keluar bersama berpimpinan tangan, di pusat beli-belah pula.

Apa pun, SS berpandangan positif. Bukan apa, hakikat pasangan yang berumah tangga pun ada kalanya dilambung ombak, inikan pula bagi yang sedang bercinta.

Kepada artis ini dan pasangannya SS doakan hubungan mereka akan ke jenjang pelamin. Apatah lagi, khabarnya hubungan itu direstui peminat.

Bukan senang sebenarnya peminat setia memberi sokongan kepada artis kesayangan untuk bercinta. Namun, nasib artis itu dan pasangannya memang baik.

Barangkali juga, kebanyakan peminat sekarang sudah bersikap terbuka. Peminat menyokong artis kesukaan mereka kerana bakat bukan kisah peribadi.

Bagaimanapun, SS sangat teruja kerana bulan depan dengarnya ramai artis yang akan naik pelamin. Antaranya Ramona Zamzam, Lana Nodin dan Azza AF1. Semoga selamat sejahtera.

SS: Nak ucap selamat pe­ngantin baru kepada artis yang akan naik pelamin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 10:27 AM