Milan: Jose Mauri meledak gol selepas sejam ketika pasukan dilanda krisis Parma mengejutkan Juventus 1-0 bagi merekod kekalahan kedua juara bertahan itu pada kempen Serie A musim ini.

Beberapa hari sebelum menanti kehadiran AS Monaco bagi suku akhir pertama Liga Juara-Juara, jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri merehatkan beberapa pemain utama bagi kunjungan ke Stadium Enrico Tardini, awal pagi semalam.

Penjaga gol Gianluigi Buffon, penyerang Carlos Tevez dan pertahanan Andrea Barzagli semuanya direhatkan di bangku simpanan menjelang pertemuan suku akhir di Turin awal pagi Rabu ini, sekalipun ia satu keputusan yang mungkin dikesali Allegri.

Selain tidak dibayar gaji sepanjang musim dan diisytihar muflis bulan lalu, Parma juga hanya meraih dua mata daripada tujuh perlawanan terakhir liga menentang kelab gergasi Turin itu.

Namun, anak buah Roberto Donadoni mempamerkan semangat juang tinggi untuk menafikan statistik, sekali gus membuktikan perjuangan mereka mengelak tersingkir ke liga bawahan belum berakhir.

“Mereka mempamerkan semangat mengagumkan malam ini,” kata Donadoni. “Kami mungkin berada di tangga tercorot, namun selepas apa yang berlaku skuad ini membuktikan mereka boleh meningkat.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 8:07 AM