Oleh Dang Setia

Kekasih saya muda lima tahun dan kuat cemburu. Malah, kami kerap bergaduh meskipun hal remeh-temeh. Terbaru saya keluar bersama rakan sekerja lelaki. Masalahnya, kami keluar beramai-ramai dan bukan berdua.

Kebetulan dia keluar bersama rakannya untuk makan di lokasi sama. Kekecohan timbul disebabkan dia salah faham dan terus memaki saya di khalayak umum. Malu bukan kepalang disebabkan drama kami di pasar raya terbabit.

Saya akui usianya masih muda menyebabkan dia cemburu melampau. Saya bimbang sikap dia yang panas baran selain cemburu akan menyebabkan saya berdepan masalah apabila kami berkahwin kelak.

DUHA, Gombak, Selangor

Sama ada mahu terus bersamanya, hanya saudari berhak mengambil keputusan itu. Pada Dang Setia, saudari perlu rasional, adakah si dia pasangan sesuai?

Usah membebankan diri atau memperjudikan kebahagiaan diri andai saudari sedar komitmen cinta itu memberi kesan buruk dalam jangka panjang.

Selain itu, cemburu kekasih pada Dang Setia sangat tidak relevan. Berbanding isu hubungan berkekalan mahupun tidak, Dang Setia lebih bimbang mengenai keselamatan saudari.

Langkah terbaik, cuba berbincang dengan keluarga supaya mendapat gambaran sejauh mana hubungan saudari dengan kekasih. Saudari perlu pastikan, sejauh mana keluarga dapat terima calon pilihan saudari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2015 @ 12:47 AM