Oleh Dang Setia

Saya gadis berusia 30 tahun dan mempunyai kekasih berusia 24 tahun. Hubungan kami menjangkau dua tahun dan mulanya saya rasa sangat bahagia. Kami mengenali antara satu sama lain menerusi laman sembang. Kemudian kami teruskan berhubung menerusi laman sosial dan dia sering menelefon saya. Itu membuatkan saya terus jatuh cinta padanya.

Kami jarang berjumpa sebab kekasih menuntut di universiti awam di utara, saya pula bekerja di Kuala Lumpur. Kalau dia pulang ke rumah keluarganya di Kuala Lumpur, barulah kami bertemu janji.

Meskipun dia melayan saya dengan baik, saya kurang yakin disebabkan jurang umur kami terlalu jauh. Dia kata umur bukan penghalang selagi saya setia menanti dia tamat belajar. Saya bimbang dia menyukai gadis sebayanya dan memutuskan hubungan kami.

Setakat ini tiada sikap mencurigakan tetapi hati saya tetap bimbang.

Kami pernah putus seketika tetapi dia memujuk kerana sukar menerima gadis lain sebagai kekasih. Saya kembali menerimanya kerana sayang dan cuba yakin dalam hubungan ini.

Pada pandangan Dang Setia, adakah hubungan saya ini tinggi risikonya berbanding menjalin cinta dengan lelaki sebaya mahupun lebih tua daripada kekasih sekarang?

DONNA, Kuala Lumpur

Tidak dinafikan jurang usia mempengaruhi hubungan saudari dan si dia. Terutama apabila saudari memikirkan hal berkenaan berkali-kali hingga membuatkan saudari semakin ragu-ragu dengan si dia.

Tambah pula dia jauh daripada pandangan membuatkan saudari bertambah bimbang dengan kesetiaan kekasih. Sedangkan kekasih begitu baik melayan serta tidak pernah gagal menghubungi saudari bila berkesempatan.

Bagi Dang Setia, seawal menerima hasrat teman lelaki, saudari sudah sedia maklum inilah antara dilema harus hadapi. Saudari bukannya bercinta pada usia gadis remaja sebaliknya sudah menjangkau usia matang.

Justeru belajarlah menyesuaikan diri serta positif agar hubungan terjalin lebih sihat. Bukan tidak boleh curiga, namun perlu ada hadnya kerana Dang Setia bimbang jika terlalu kerap teman lelaki berasa rimas serta tertekan.

Selain itu, Dang Setia berharap saudari boleh bincang mengenai hala tuju hubungan ketika ini dengan kekasih. Ini supaya landasan dilalui saudari dengannya sama.

Perancangan masa depan perlu ada supaya saudari dapat menilai sejauh mana komitmen saudari baik dia sendiri dalam hubungan.

Daripada itu saudari dapat sedikit petunjuk mengenai kaedah menyelesaikan konflik hubungan saudari yang tidak pasti pengakhirannya selain memastikan sejauh mana saudari sanggup terus menunggu si dia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2015 @ 1:23 AM