Oleh Dang Setia

Saya gadis berusia 16 tahun dan tinggal bersama abang dan kakak ipar selepas ibu bapa saya meninggal dunia. Ibu meninggal dunia pertengahan Jun lalu, menyebabkan abang menjaga saya. Abang tidak berdepan masalah, malah mengalu-alukan kehadiran saya.

Cuma kehadiran saya tidak disenangi kakak ipar. Abang saya sering ke luar daerah dan kesempatan itu diambil kakak ipar untuk mendera saya. Pada mulanya saya akur kerana memikirkan hidup menumpang tetapi kini saya mula melawan kerana tidak tahan.

Malah, saya bertindak berani dengan melarikan diri ke kampung semula kerana tidak tahan dengan sikapnya. Tindakan itu membimbangkan abang namun dia tidak menekan, sebaliknya merujuk saya kepada kaunselor.

Sebenarnya, semua itu tidak perlu jika abang membenarkan saya tinggal di kampung sendirian. Saya serba salah kerana tidak mahu dikatakan mengadu atau berbohong kalau bercerita mengenai sikap kakak ipar. Sebarang kemungkinan boleh jadi disebabkan kakak ipar pandai bermuka-muka.

LADYANA

Kota Tinggi, Johor

Simpati Dang Setia dengan nasib saudari menjadi mangsa penderaan kakak ipar. Lebih mengharukan, saudari sanggup diamkan diri mengenai sikap buruk kakak ipar dan beralah. Sikap itu menunjukkan saudari matang dan sangat tabah.

Bagi Dang Setia, saudari mampu menangani situasi itu dengan baik, cuma cara penyelesaian dengan melarikan diri adalah tidak wajar. Kelak berkemungkinan langkah diambil sebenarnya lebih memburukkan situasi saudari.

Dalam hal ini, lebih baik saudari membuka sedikit ruang untuk lebih jujur dengan abang. Jangan berterusan memendam perasaan serta melakukan protes seperti melarikan diri ke kampung halaman tanpa pengetahuannya.

Pada Dang Setia, mungkin dengan berbincang atau meluahkan hal itu kepada saudara kandung lebih rapat serta dipercayai dapat membantu menjadi orang tengah kepada abang menerangkan situasi ini.

Jangan menanggung beban sendirian dan tidak salah untuk bergantung pada abang kerana itu memang begitu hubungan saudara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 2:09 AM