Oleh Dang Setia

Saya gadis berusia 29 tahun menaruh minat terhadap pegawai atasan saya. Saya minat bos sejak dia bertukar ke pejabat saya empat tahun lalu. Bagaimanapun status perkahwinan pegawai saya itu tidak dapat dipastikan kerana ramai tidak berani bertanyakan hal itu.

Ada mengatakan dia bapa tunggal seorang anak. Ada juga menyebut dia masih belum berpisah dan dalam proses berdamai dengan isterinya.

Saya senang bekerja dengannya. Dia majikan baik selain pernah membantu ketika saya dalam kesusahan.

Dia mengambil berat dan cuma tidak mahu menunjuk kebaikan di depan rakan sekerja lain. Saya lihat dia lebih gemar bersendirian serta tidak bercampur dengan pegawai bawahannya. Bukan disebabkan dia sombong, cuma dia jenis pendiam serta pemalu.

Karakter dia sedikit sebanyak saya pelajari kerana kami sering kerja bersama. Kalau saya berterus-terang, adakah itu sesuatu yang akan mencemar air muka saya?

MIA, Kuala Lumpur

Dang Setia memahami apabila saudari menemui lelaki baik dan menepati ciri pasangan ideal yang ingin dicari, saudari teruja. Namun, penantian hampir empat tahun tanpa disusuli dengan sebarang usaha, pada Dang Setia itu hanyalah sia-sia.

Sebaiknya saudari mungkin boleh mendapatkan latar belakangnya menerusi orang rapat dengannya mahupun terus bertanya kepadanya. Pada Dang Setia, kalau saudari rasa berterus-terang dapat menghentikan penantian selama empat tahun, itu lebih baik.

Dang Setia bimbang terlalu lama menyimpan harapan hanya membuat saudari lebih sukar mencari pasangan lebih sesuai dengan saudari.

Cari peluang bersemuka dan berterus-terang mengenai perasaan saudari terhadapnya. Dari situ saudari mendapat jawapan mengenai hala tuju hubungan cinta yang saudari harapkan.

Mengenai kaedah cara penyampaian, Dang Setia rasa saudari boleh gunakan pendekatan lebih

lembut dan tidak begitu drastik.

Bagi ‘hint’ mengenai perasaan saudari sama ada menerusi mesej mahupun landasan laman sosial. Menerusi ­mesej peribadi rasanya saudari akan kurang rasa segan.

Selain itu, dia juga dapat memberi jawapan lebih jujur serta tulus kerana tidak perlu berdepan saudari mengenai pandangan terhadap perasaan saudari terhadapnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2015 @ 12:41 AM