Oleh Dang Setia

Saya meminati artis Korea dan mempunyai koleksi barangan mereka. Sikap saya itu kurang disenangi kekasih kerana kelihatan sangat taasub pada hal tiada manfaat selain membazir.

Adakala kami bergaduh dan menjadi perang dingin disebabkan sikapnya kurang memahami hobi saya.

Saya tidak pernah menggunakan duitnya untuk memenuhi minat saya. Semuanya duit poket sendiri serta tidak pernah menyusahkan kekasih. Hobi dia jauh lagi mahal daripada saya. Saya hanya habis puluhan ringgit untuk poster artis.

Kekasih pula mempunyai hobi jauh lagi mahal iaitu aksesori motosikal. Bukan habis ratusan tetapi ribuan ringgit.

Saya tidak pernah bising malah menemani dia setiap kali pameran. Jadi, saya memahami hobinya berharap dia faham minat saya.

MAA HYUN, Subang, Selangor

Beginilah pepatah orang tua berbunyi ‘mengata dulang paku serpih, kata orang dia lebih’. Maksudnya kalau cacat orang nampak saja tanpa menyedari sebenarnya kekasih saudari mempunyai tabiat lebih buruk mengenai hobi.

Maka berbanding dia terus mengutuk memgenai perkara diminati antara satu sama lain, lebih baik menghormati serta memahami.

Namun kalau dilihat terlalu obses, tegur dengan baik agar ia tidak menjejaskan hubungan.

Sebenarnya pada hemat Dang Setia baik saudari serta kekasih mengawal diri. Tidak perlu terlalu obses dan cuba sedar diri andai terlalu dibuai keasyikan terhadap hobi masing-masing. Tetapkan batasan agar tidak terdorong terlalu jauh dalam aktiviti mengumpul poster.

Mengenai perasaan kurang senang kekasih, carilah waktu sesuai untuk berbincang. Minta kekasih letakkan situasi jika hal itu berlaku padanya, bolehkah dia bertolak ansur?

Jangan pula gunakan kekerasan kerana itu membuatkan kekasih berasa tercabar. Teruskan memujuk serta menghormati minat saudari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2015 @ 1:12 AM