FARIZAL tekad kebal di gawang.
FARIZAL tekad kebal di gawang.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Status selaku pendahulu Liga Super menjadi pendorong kepada FELDA United untuk mengukuhkan cengkaman apabila saingan kembali bersambung hujung minggu nanti.

Selepas tiga minggu, anak buah Irfan Bakti itu kembali turun beraksi sebagai pasukan tunggal tidak tewas dalam saingan Liga Super selepas mengharungi lima perlawanan dan bakal berdepan Perak di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sabtu ini.

“Sememangnya kedudukan teratas dan rekod tanpa kalah menyuntik semangat kami untuk meneruskan saingan. Tempoh rehat yang panjang kembali memberikan ‘kesegaran’ untuk memastikan rentak kemenangan diteruskan dan melebarkan jarak mata.

“Sebagai penjaga gol saya berharap dapat memastikan gawang tidak dibolosi untuk perlawanan selepas ini. Ia penting bagi memberikan keyakinan dalam memastikan pasukan kami menang atau sekurang-kurangnya meraih satu mata dalam setiap perlawanan,” kata penjaga gol The Fighters Mohd Farizal Harun.

Farizal cemerlang apabila tidak dibolosi tiga daripada lima perlawanan Liga Super yang diharungi, sekali gus membantu FELDA United mengungguli kedudukan teratas dengan mengumpul 11 mata manakala Perak kendalian Datuk M Karathu berada di kedudukan keempat dengan lapan mata.

“Cuma saya berharap tempoh rehat yang panjang ini tidak menjejaskan rentak kami dan rakan sepasukan mampu meneruskan corak permainan seperti biasa,” katanya.

Sepanjang liga berehat, FELDA United mengadakan dua aksi persahabatan (menentang PKNS FC dan DRB-Hicom) untuk mengekalkan tahap kecergasan.

FELDA United memerlukan kemenangan untuk meneruskan penguasaan dengan pasukan di kedudukan kedua, PDRM hanya ketinggalan dua mata serta berpeluang mendahului sekiranya menewaskan Sarawak di Stadium Shah Alam, Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2015 @ 5:14 AM