Canon Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai pengeluar kamera nombor satu di dunia dari segi jualan selama 12 tahun berturut-turut dengan barisan kamera digital boleh ubah lensa mereka (ILS) merangkumi DSLR dan kamera kompaknya tahun lalu.

Canon menghasilkan sendiri komponen utama kamera mereka seperti sensor imej CMOS, pemproses imej serta lensa boleh ubah pada kamera mereka.

Kesemua teknologi tercanggih dilengkapkan dalam seluruh produk mereka merangkumi kamera untuk profesional sehingga model untuk pengguna baru yang mana model menyeluruh terbabit memastikan Canon dapat mengekalkan kedudukan nombor satu mereka di peringkat antarabangsa.

Pada peringkat permulaan kamera DSLR pada 2003, Canon memperkenalkan model mampu milik mereka, EOS Kiss Digital atau lebih dikenali sebagai EOS 300D di Malaysia dan EOS Digital Rebel di beberapa negara lain.

Kamera DSLR yang kompak dan ringan serta berharga kompetitif ini menjadi batu loncatan kepada perkembangan pasaran DSLR. Sejak itu, Canon memperkenalkan pelbagai kamera DSLR termasuk siri EOS-1D yang dihasilkan untuk pengguna profesional serta siri EOS 5D yang membuka jalan kepada rakaman video menggunakan DSLR kerana dilengkapi sensor kerangak penuh untuk fungsi rakaman video.

Oktober tahun lalu menyaksikan Canon melancarkan model EOS 7D Mark II yang disasarkan untuk pengguna amatur yang mahukan fungsi seperti profesional.

Untuk terus memperkukuhkan kedudukan mereka, Canon memperkenalkan lima lagi model kamera awal tahun ini iaitu EOS 5DS dan 5DS R, EOS 760D (dikenali juga sebagai EOS Rebel T6s atau 8000D) dan EOS 750D serta kamera digital kompak EOS M3.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 1:04 PM