Paris: Paris Saint-Germain berdepan lapan perlawanan dalam tempoh 23 hari ketika mereka memburu empat trofi, bermula dengan separuh akhir Piala Perancis menentang Saint-Etienne, awal pagi esok.

PSG memiliki keyakinan tinggi selepas menundukkan musuh tradisi Marseille 3-2 di Stade Velodrome, Ahad lalu untuk merampas kembali kedudukan pendahulu Ligue 1.

PSG dan St Etienne sudah memenangi piala itu 14 kali (masing-masing lapan dan enam) dan dengan kelab divisyen dua Auxerre menanti kunjungan penyandang juara, Guingamp pada satu lagi separuh akhir, kelab besar itu berasa ia adalah halangan terbesar dalam laluan menjulang piala.

Bagi PSG, banyak perlawanan besar menanti ketika mereka menghuni tangga teratas liga, satu mata di depan Lyon.

Mereka juga turun menentang Bastia di Stade de France bagi final Piala Liga, Sabtu ini sebelum menerima kunjungan Barcelona pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara, pertengahan minggu depan.

Pada perlawanan menentang Marseille, PSG kehilangan dua pemain utama apabila David Luiz dan Thiago Motta meninggalkan padang kerana kecederaan otot.

Pemain tengah PSG, Blaise Matuidi berkata, kecederaan itu membimbangkan namun berjanji pasukan itu akan berjuang hingga ke wisel penamat.

Jurulatihnya Laurent Blanc gembira apabila menewaskan Marseille namun sedih dengan kecederaan itu. “Kami menikmati kemenangan ini tapi kecewa dengan kecederaan menimpa pemain,” ujarnya.
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 8:26 AM