Tahniah diucapkan kepada Sarimah Ibrahim, 37, yang kembali bergelar isteri apabila selamat berkahwin de­ngan Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar, 43, Khamis lalu.

Pasangan ini dinikahkan jurunikah dari Istana Negara, Ustaz Nik Ridzuan Nik Mohamad disaksikan ibu bapa pengantin dan keluarga terdekat kedua-dua pihak di Hotel Prince Kuala Lumpur, jam 12.38 tengah hari.

Ia turut dihadiri Tunku Ampuan Negeri Sembilan, Tunku Najihah Tunku Besar Burhanuddin. Majlis persandingan pula berlangsung di tempat sama pada sebelah malamnya.

Hari bersejarah Sarimah turut dikongsi bersama peminat apabila berita mengenainya disiarkan media, kelmarin. Walaupun membabitkan orang istana, nampaknya Sarimah tidak melupakan media yang selama ini tidak pernah jemu memberi publisiti kepadanya sejak mula jadi penyanyi, kemudian pelakon dan pengacara.

Sebagaimana kata Sarimah dalam Selebriti Metro Ahad minggu lalu, dia mahu media turut sama hadir di majlis bersejarahnya memandang­kan perkahwinan pertamanya dulu tidak dapat dihadiri rakan wartawan kerana berlangsung di luar negara.

Berita disiarkan juga yang baik-baik dan besar liputannya. Berbeza dengan seorang lagi selebriti yang melangsungkan pernikahan minggu lalu. Media tidak diundang untuk membuat liputan, sebaliknya melantik seseorang untuk berkongsi detik bahagianya dengan semua media.

Apabila ditanya empunya diri mengapa tidak mengundang media, jawapannya sangat menjengkelkan. Tidak adakah alasan sopan hingga melabelkan kehadiran media sebagai menyemak dan dia tiada masa hendak melayan wartawan?

Namun mengenali selebriti ini, bukan sesuatu yang mengejutkan kata-kata itu keluar dari bibirnya kerana selama ini dia memang dikenali dengan mulut celupar dan pera­ngai gila-gila. Tidak kisah perasaan orang lain dan memberi jawapan jujur yang terpacul dari lubuk hatinya.

Kalau pun tidak mahu mengundang media, sebagai manusia berakal, rasanya tidak akan sanggup mengeluarkan kata-kata begitu.

Begitu hina sekali insan bernama wartawan pada mata selebriti ini. Nampak sangat tiada rasa hormat pada orang lain. Mungkin selebriti ini rasa dirinya besar kerana mempunyai peminat di laman sosial dan media begitu kecil pada matanya.

Namun ingatlah, langit tidak selalu cerah. Satu masa nanti, siapa tahu selebriti ini memerlukan wartawan.

Malam ini juga berlangsung kemuncak Anugerah Bintang Popular BH 2014 (ABPBH2014) di Arena Of Stars, Genting Highlands. Artis mana yang dipilih peminat untuk menyandang gelaran penyanyi, pelakon, pelawak, pengacara dan penyampai radio popular? Sama-sama kita nantikan keputusannya.

Saban tahun artis yang mesra peminat dan sering mendapat liputan media akan membawa pulang gelaran popular ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2015 @ 5:15 AM