SARIMAH menjalani istiadat majlis melenggang perut mengikut adat istiadat Diraja Melayu di Istana Nurul Jannah di Changkat Tunku, Kuala Lumpur. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
SARIMAH menjalani istiadat majlis melenggang perut mengikut adat istiadat Diraja Melayu di Istana Nurul Jannah di Changkat Tunku, Kuala Lumpur. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Ramlah Zainal


PELAKON dan pengacara Sarimah Ibrahim memberitahu dia akan mengumumkan jantina bayi dalam kandungannya kepada peminat dalam satu majlis yang bakal berlangsung pada penghujung Mei nanti.

Menurut Sarimah, 41, dia juga dijadualkan menjalani pemeriksaan doktor untuk mengetahui jantina bayi dalam kandungannya itu dalam tempoh terdekat ini.

“Saya dan suami memang berdebar dan pada masa sama teruja menanti kelahiran cahaya mata pertama ini.

“Kalau nak diikutkan, saya idam cahaya mata perempuan kerana dalam keluarga sebelah saya ramai lelaki.

“Suami pula tidak kisah sama ada anak lelaki atau perempuan kerana yang penting bayi dilahirkan sihat dan cukup sifatnya,” katanya kepada Harian Metro.

Sarimah ditemui selepas majlis melenggang perut mengikut adat istiadat Diraja Melayu yang berlangsung di Istana Nurul Jannah di Changkat Tunku, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, ibu mentuanya, Tunku Dara Tunku Tan Sri Naquiah Almarhum Tuanku Ja’afar, kerabat diraja dan keluarga terdekat kedua belah pihak.

Mengulas keadaan kandungannya, kata Sarimah, dia bersyukur bayi dalam kandungannya yang kini mencecah tujuh bulan itu sihat tanpa sebarang masalah.

“Alhamdulillah, cuma tiga bulan pertama saya mengalami alahan ibu mengandung dan suami pun terkena tempias berasa loya.

“Namun, selepas kandungan lebih tiga bulan dan sampai sekarang, saya semakin sihat serta bertenaga.

“Saya percaya semuanya kerana hasil senaman sesuai yang dilakukan sehingga menjelang kelahiran nanti,” katanya.

Sarimah berkahwin dengan cucu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar atau Tunku Jamie pada 2 April 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 6:44 PM