Sedikit masa lalu, kita pernah dikejutkan dengan kontroversi seorang selebriti ini yang cuba bersikap biadap terhadap beberapa wartawan.

Tanpa rasa bersalah dia terus menerus menuduh wartawan se­ngaja mencari pasal dengannya walaupun ketika itu dia yang memulakan pertengkaran dengan seorang teman.

Wartawan yang ada hanya datang membuat liputan tetapi dituduh pula macam-macam. Tidak lama kemudian SS lihat kelibat selebriti ini seperti kurang keluar di mana-mana akhbar mahupun televisyen.

Risik punya risik, rupanya selepas kejadian itu dia diboikot ekoran sikap biadap dan mulut celuparnya itu.

Baru-baru ini, SS dapat tahu dia merayu kepada beberapa produksi dan wartawan untuk memberi publisiti dan pekerjaan padanya.

Dia punya merayu hendak kerja dibayar gaji ciput pun dia rela asalkan ada duit belanja. SS dengar bayaran yang dia minta memang tidak masuk akal sikitnya.

Senang cerita hendak bayar bil telefon bimbit SS setiap bulan pun belum tentu lepas. Kasihan pun ada mendengar kisah selebriti ini. Tapi apa boleh buat anda sendiri yang cari angkara, tanggunglah akibatnya.

Nasihat SS kepada selebriti berkenaan dan semua di luar sana berfikirlah sebelum melakukan sesuatu. Jangan asyik hendak cari salah orang saja sampai lupa kesilapan sendiri.

Akhirnya anda juga yang rugi. Bila orang sudah tidak mahu bekerjasama dengan anda, hendak menyesal pun tidak guna.

SS: Sentiasa manis mulut dengan semua orang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Oktober 2014 @ 5:00 AM