PENGASAS Mood Republik, Kimi Iskandar (kiri) dan Yusri Ismail.
PENGASAS Mood Republik, Kimi Iskandar (kiri) dan Yusri Ismail.
KIMI Iskandar dan Yusri bersama sebahagian vendor yang akan menyertai KL Raya Fest di PWTC.
KIMI Iskandar dan Yusri bersama sebahagian vendor yang akan menyertai KL Raya Fest di PWTC.
Oleh Siti Zarinah Sahib


Selepas kejayaan KL Raya Fest 2014 dengan kunjungan ratusan ribu pengunjung, sekali lagi Mood Republik membawakan kemeriahan penganjuran bazar Aidilfitri paling besar di Malaysia iaitu KL Raya Fest 2015 dengan lebih 400 jenama terkenal yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula 11 hingga 13 Julai ini.

Objektif utama untuk menyatukan usahawan Bumiputera ternama serta yang baru memulakan perniagaan di bawah satu bumbung sambil berinfak untuk tabung amal.

Menerusi gabungan pelbagai jenama, ia memberikan kesan penting terhadap penganjuran festival kerana berjaya menyatukan pengikut di laman media sosial Facebook dan Instagram melebihi 10 juta orang.

Menurut Pengasas Mood Republik, Kimi Iskandar Ismail, pada edisi kali ini pengunjung bukan saja berbelanja tetapi boleh mengimarahkan Ramadan dengan berbuka puasa, solat Tarawih dan bersahur sepanjang festival berlangsung.

“KL Raya Fest 2015 akan membuka pintu kepada pengunjung bermula Sabtu, jam 10 pagi dan akan tamat pada Isnin jam 8 malam. Usahawan hanya akan berehat dari jam 5 pagi hingga 10 pagi setiap hari untuk bersahur, pembersihan dan isian semula stok. Dijangkakan kali ini jumlah kehadiran pengunjung mencecah 300,000 orang,” katanya.

Tambah Yusri Ismail yang juga pengasas bersama Mood Republik, kepakaran Mood Republik adalah membantu usahawan menjalankan perniagaan dan mempromosikan produk dengan menyediakan landasan premium bersama sasaran pengunjung melebihi 100,000 orang dalam satu hari festival. Malah pengunjung hanya berpeluang mendapatkan jenama besar seperti Cala Qisya, Radiusite, Aidijuma, Zawara dan Jubah Souq menerusi festival anjuran Mood Republik saja bagi menjaga nilai eksklusifnya.

Menariknya, festival ini mempunyai misi yang sangat jelas iaitu menambah nilai kehidupan lebih ramai insan memerlukan melalui sumbangan amal usahawan yang dikumpulkan setiap kali festival manakala penganjur mengamalkan konsep sadaqah secara ikhlas. Mereka boleh memberikan sumbangan seikhlas hati daripada hasil jualan untuk Mood Republik sampaikan kepada institusi amal terpilih. Setakat ini hampir RM500,000 disumbangkan kepada organisasi tempatan dan antarabangsa.

Pada tahun ini, Kimi dan Yusri menyasarkan sumbangan sebanyak RM250,000 dengan fokus utama membantu perjuangan Yayasan Al Ijabah dan rumah angkat Mood Republik iaitu Pusat Jagaan Anak-Anak Istimewa Harapan Seremban.

“Antara penerima sumbangan ialah Rohingya Education Centre (REC), Madrasah An-Nur kemboja, Yayasan Al Ijabah dan Pusat Jagaan Anak-Anak Istimewa Seremban. Yayasan Al Ijabah mempunyai misi besar untuk membangunkan kompleks ilmu iaitu Kompleks Maahad Sains al-Quran Al Amin yang kos dianggarkan sebanyak RM4 juta.

“Mood Republik juga menyalurkan bantuan bagi pembinaan madrasah di negara bergolak Tanzania yang dikelolakan pengacara tekenal Ahmad Fedtri Yahya,” kata Yusri.

Pusat Jagaan Anak-Anak Istimewa Harapan Seremban yang diasaskan Datuk Azizan Ali Hang Tuah menempatkan anak-anak istimewa yang memerlukan penjagaan khusus dan diberikan sedikit kemahiran agar mereka dapat berdikari apabila dewasa.

“Ada antara anak-anak yang ditinggalkan ibu bapa tanpa dipedulikan langsung. Oleh itu, tanggungjawab menjaga dan mendidik mereka diambil alih kakitangan pusat jagaan. Kos perbelanjaan operasi dan mengurus pusat ini sangat tinggi. Jadi Mood Republik mengambil inisiatif mengambil rumah jagaan ini sebagai anak angkat,” kata Yusri.

Bagi peminat fesyen pula, inilah peluang praktikal dan ekonomi bagi mendapatkan koleksi terkini Aidilfitri. Pengunjung tidak perlu ke pelbagai lokasi untuk mendapatkan jenama pilihan mereka, sebaliknya semuanya ditempatkan di bawah satu bumbung. Pada masa sama, pembeli turut menyumbang secara langsung kepada projek amal Mood Republik.

Antara jenama yang akan menyertai KL Raya Fest ialah Cala Qisya, The CalaShoes, Radiusite, Dreemika, Sugarscarf, Jubah Souq, Bella Ammara, Imaan Boutique, Minaz, Zawara, Sincerelybyus Shawls dan Naelofar Hijab. Karnival turut dimeriahkan selebriti yang mempunyai jenama sendiri seperti Neelofa, Didie Alias, Afdlin Shauki, Izzue Islam, Memey Suhaiza dan Emma Maembong.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2015 @ 11:01 AM