Berlin: Dua penjaring terbanyak Bundesliga, Robert Lewandowski dan Alexander Meier bertembung sesama sendiri apabila pendahulu Bayern Munich menanti kunjungan kelab pertengahan liga, Eintracht Frankfurt dengan hasrat meningkatkan keyakinan menjelang aksi Liga Juara-Juara.

Dengan baki tujuh perlawanan, Bayern semakin hampir melengkapkan kejuaraan ketiga berturut-turut dan dilihat sukar digugat kerana mendahului 10 mata.

Pertembungan di Arena Allianz yang terakhir buat mereka sebelum aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara menentang FC Porto di gelanggang lawan, pertengahan minggu depan.

Kelab gergasi Bavaria itu tanpa tiga pemain kerana kecederaan, sayap kanan Arjen Robben, pertahanan kiri David Alaba dan sayap kiri Franck Ribery, sekalipun pemain Perancis itu kembali berlatih kelmarin selepas kecederaan buku lali.

Bayern kendalian Pep Guardiola berusaha menyamai catatan 2013 dengan memenangi tiga kejuaraan Eropah, liga dan Piala Jerman, namun Bundesliga masih fokus utama mereka.

“Bundesliga kejuaraan paling penting, itulah keutamaan kami,” jelas pengarah sukan Bayern Matthias Sammer. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 5:24 AM