SYAHRUL Azwari ledak gol menerusi sepakan penalti.
SYAHRUL Azwari ledak gol menerusi sepakan penalti.

Shah Alam: Pemain simpanan Syahrul Azwari Ibrahim dan Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris membuktikan mereka berhak untuk berada dalam kesebelasan utama selepas menjadi penyelamat skuad bawah 22 tahun negara (B-22) ketika menewaskan Macau 2-0 pada aksi kelayakan AFC B-23 di Stadium Shah Alam semalam.

Kedua-dua pemain ini diketepikan jurulatih Razip Ismail ketika Malaysia tewas 1-2 di tangan Vietnam pada perlawanan pertama Kumpulan I Jumaat lalu, namun kembali diturunkan selepas rombakan besar dilakukan ke atas pasukan.

Syahrul Azwari yang beraksi di posisi sayap menghasilkan gol pertama menerusi sepakan penalti selepas dia dijatuhkan pemain lawan Raposo De Matos Alexandre di minit ke-12.

Pemain kelahiran Kelantan itu kemudian mencipta gerakan gol kedua m-66 apabila bola sepakan sudutnya ditanduk masuk Amirzafran bagi menewaskan penjaga gol Macau Ho Man Fai.

Menurut Syahrul Azwari, mereka boleh mencipta kemenangan lebih besar jika bermain lebih tenang di depan gawang.

“Kita terlalu mahukan gol jadi kita gopoh dan gagal menyempurnakan peluang.

“Kalau diberi kepercayaan jurulatih, saya akan cuba berikan aksi terbaik menentang Jepun nanti,” katanya yang ditemui selepas tamat perlawanan semalam.

Bagi pertahanan tinggi lampai Amirzafran pula, dia semakin bersemangat untuk beraksi pada perlawanan terakhir walaupun berdepan pasukan pilihan Jepun bukan tugas mudah.

“Kami menghormati Jepun kerana mereka memang berada di tahap lebih baik namun itu tidak bermakna kami harus takut,” katanya.

Malaysia akan bertemu Jepun pada aksi terakhir kumpulan Selasa ini dan hanya kemenangan mampu mencerahkan peluang untuk layak ke pusingan akhir di Qatar tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2015 @ 5:14 AM