BALDE tidak miliki pakej mencukupi perkasa cabaran Melaka musim ini.
BALDE tidak miliki pakej mencukupi perkasa cabaran Melaka musim ini.
Nazri Abu Bakar


PERSATUAN Bolasepak Melaka United (MUSA) memutuskan tidak menyenaraikan Amido Balde bagi mengisi import keempat skuad berkenaan.

Penolong pengurus Melaka, Syahrul Nizam Shamsuddin berkata, pemain terbabit sudah diuji ketika perlawanan persahabatan sebelum ini serta sesi latihan di bawah kendalian jurulatih Zainal Abidin Hassan.

Katanya, penelitian barisan kejurulatihan mendapati pemain terbabit tidak menepati kehendak pasukan bagi bergandingan dengan Uche Agba di barisan penggempur.

Menurutnya, bekas pemain PSM Makassar kelahiran Guinea-Bissau itu memiliki ciri penyudah menarik namun tidak memenuhi kriteria ditetapkan bagi membarisi skuad Hijau Putih kali ini.

Beliau berkata, walaupun memiliki pengalaman luas bersama kelab ternama termasuk Victoria SC selain Cercle Brugge (Belgium), Celtic (Scotland), FC Metz (Perancis) dan Persebaya Indonesia itu selain meledak dua gol dalam aksi persahabatan namun belum mencukupi untuk menarik minat panel penilai menyenaraikannya.

“Sehubungan itu, kami masih menanti kehadiran import baharu yang bakal tiba dalam tempoh terdekat. Apapun, kami yakin dia akan bersama pasukan sebelum Hijau Putih berlepas ke Bandung bagi aksi pramusim 28 Januari ini,”katanya.

Syahrul berkata, buat masa ini Melaka juga konsisten menggunakan empat import dan dua naturalisasi membabitkan Khair Jones dan Curran Singh Ferns bagi memperkasa skuad berkenaan.

Malah kehadiran bekas import PKNS FC, Romel Morales Ramírez yang sudah mula menjalani latihan minggu ini dilihat memberi impak terhadap persembahan pasukan terutama di barisan tengah dan serangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 6:17 PM