MASJID Deway masih utuh diperbuat batu bata berkualiti tinggi.
MASJID Deway masih utuh diperbuat batu bata berkualiti tinggi.
SENI bina Islam di Masjid Nan Dou Ya masih cantik walaupun berusia ratusan tahun.
SENI bina Islam di Masjid Nan Dou Ya masih cantik walaupun berusia ratusan tahun.
DEKORASI seni dalaman tulisan kaligrafi Islam di dalam Masjid Niu Jie menarik
DEKORASI seni dalaman tulisan kaligrafi Islam di dalam Masjid Niu Jie menarik
SUASANA di Masjid Deway ketika solat Jumaat.
SUASANA di Masjid Deway ketika solat Jumaat.
WAN Asrudi ( kanan ) menyampaikan naskhah al-Quran kepada Mohammad Lee (kiri) di Masjid Deway, Beijing.
WAN Asrudi ( kanan ) menyampaikan naskhah al-Quran kepada Mohammad Lee (kiri) di Masjid Deway, Beijing.
Oleh Rosman Shamsudin


Tragedi pesawat MH370 membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang pada 8 Mac tahun lalu ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China masih lagi terasa.

Rakyat kedua-dua negara, terutama keluarga yang terbabit, masih sukar menerima kenyataan sehingga kini walaupun usaha mencari masih dijalankan di selatan Lautan Hindi, tempat dipercayai perjalanan pesawat itu berakhir.

China mempunyai lebih 20 juta umat Islam dan kira-kira 30,000 masjid. Di Beijing saja yang juga ibu negara, ada 70 masjid untuk umat Islam beribadat dan menjalankan pelabagai program dan aktiviti yang ditadbir Jabatan Hal Ehwal Agama.

Baru-baru ini, Program Jalinan Muhibbah Malaysia-China anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak (KSKMP) yang disertai 32 wakil pelbagai agensi media utama Malaysia mengunjungi tiga masjid di Beijing sebagai perintis bagi merapatkan hubungan antara kedua-dua negara, terutama masyarakat Islam di bandar raya itu.

Ibu kota itu mempunyai 16 juta penduduk tetap dan 10 juta pengunjung dari wilayah lain yang mengunjungi bandar raya itu setiap hari untuk pelbagai urusan harian.

Program diketuai Penasihat KSKMP yang juga Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles bersama Pengerusi KSKMP yang juga Ketua Biro Harian Metro Perak, Wan Asrudi Wan Hassan mengunjungi tiga masjid berusia ribuan tahun.

Sebelum bertolak ke masjid, rombongan terlebih dulu mengunjungi Pejabat Kedutaan Besar Malaysia dan kedatangan kami disambut Penasihat Pertahanan, Laksamana Pertama Zuakafly Ahmad bersama kakitangan kedutaan.

Sebanyak 60 naskhah al-Quran dan 600 surah Yasin disumbangkan oleh Pengarah Urusan Restoran Ali Maju, Datuk Jawahar Ali melalui Persatuan India Muslim (PRIM) Perak yang diwakili Pengerusi PRIM, Mohamed Arib Aliah untuk disampaikan kepada pentadbir masjid terbabit.

Kunjungan pertama peserta KSKMP ialah Masjid Niu Jie yang terletak di selatan Beijing. Masjid berusia 1,019 tahun itu dikelilingi kawasan pusat beli-belah. Ia diuruskan Persatuan Islam China yang diketuai oleh Imam Ibrahim Lee, 45.

Menurutnya, masjid itu dibina ketika Dinasti Song dan seni bina berusia ribuan tahun itu tetap kekal sehingga kini, menyebabkan ia sering menjadi tumpuan pelancong, terutama beragama Islam, untuk beribadat dan melihat keagungan seni bina serta ukiran Islam di negara Tembok Besar itu.

Akmar Hisham kagum dengan keunikan seni bina dan ukiran Islam di masjid itu.

“Walaupun berusia ribuan tahun, ia tetap teguh dan masih boleh digunakan untuk beribadat dan menjalankan aktiviti keagamaan,” katanya.

Menurutnya, cara pengurusan masjid itu unik kerana mempunyai pengawal di bilik di depan pintu masuk selain petugas masjid yang tekun menyusun dan memberi selipar setiap kali pengunjung selesai mengambil wuduk.

“Sambutan ahli kariah dan jawatankuasa masjid di luar dugaan apabila kedatangan kami disambut dengan senyuman, terutama ketika kami menyampaikan sumbangan al-Quran dan surah Yasin,” katanya.

Keesokan harinya, peserta mengunjungi Masjid Nan Dou Ya di Jalan Nan Dou dan kehadiran disambut pentadbirnya, Ibrahim Kau dengan tangan terbuka.

Wan Asrudi berkata, masjid ini juga kaya dengan seni bina dan ukiran lama yang masih menyerlah selain tulisan tangan kaligafi yang memenuhi ruang masjid.

Katanya, bangunan milik masjid di kawasan perkarangan rumah ibadat itu disewa penduduk Islam. Kebanyakan mereka mengusahakan perusahaan makanan halal.

“Ada peniaga membuat kuih sepangga yang rasanya seperti kuih cakoi di Malaysia dan sentiasa mendapat permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat Islam.

“Di depan masjid pula kelihatan sekelompok etnik Uighur yang berasal dari sempadan Afghanistan dan Turkistan menjual kuih tradisional mereka yang berasaskan kacang manis kepada pengunjung,”katanya.

Mohamed Arib pula berkata, masjid terakhir dikunjungi ialah Masjid Deway berusia 500 tahun di Jalan Deshenwen yang juga mengekalkan keunikan seni bina dan ukiran Islam lama ala China.

Rombongan bertuah kerana sempat menunaikan dan merasai suasana solat Jumaat bersama masyarakat Islam tempatan selepas disambut Imam Mohammad Lee, yang fasih berbahasa Melayu kerana pernah menuntut di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2015 @ 5:05 AM