MASJID Al-Badr Seribu Selawat tersergam indah.
MASJID Al-Badr Seribu Selawat tersergam indah.
PENUH dengan unsur kesenian.
PENUH dengan unsur kesenian.
KEUNIKAN  dapat dilihat di bahagian dalam masjid .
KEUNIKAN dapat dilihat di bahagian dalam masjid .
Noor Hidayah Tanzizi


Pembinaan Masjid Al-Badr Seribu Selawat di Pulau Pangkor, Perak bukan saja boleh diibaratkan sebagai monumen baru yang melambangkan martabat seni bina dalam pembinaan masjid di negara ini, malah ia membawa kepada penambahan produk pelancongan di pulau itu.

Ini kerana bukan saja menjadi tempat beribadat, masjid terapung di Kampung Teluk Gedong itu menjadi salah satu lokasi kunjungan wajib pelancong dalam dan luar negara.

Dibina pada 7 Mac 2014 menggunakan unsur kesenian beridentitikan Perak dalam setiap hiasan dengan keluasan 1708.8 meter, masjid itu siap sepenuhnya pada Oktober tahun lalu.

Masjid terapung yang dibina dengan kos bernilai RM11.7 juta itu turut mengetengahkan identiti Perak pada setiap geometri hiasan dalaman pada dindingnya.

Masjid yang mampu memuatkan 1,500 orang dalam satu masa itu dirasmikan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 8 Jun lalu.

Istimewa Masjid Al-Badr Seribu Selawat itu bukan saja menjadi masjid terapung pertama di Perak, malah ia diilhamkan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga anak jati pulau peranginan itu.

Pengerusi masjid merangkap Ketua Kampung Teluk Gedong Norazamai Abu Bakar berkata, bersesuaian dengan namanya, setiap bahagian dinding di dalam dan luar masjid dipenuhi ukiran seni halus Islam dan kaligrafi 1,000 selawat.

Menurutnya, ukiran bunga yang menyerikan setiap ruang di masjid ini diilhamkan daripada bunga tekat atau lebih dikenali sebagai bunga Perak yang juga bunga warisan dan simbol bagi negeri ini.

“Ukiran seni kerawang dan bunga yang menghiasi masjid ini adalah yang terdapat di Perak seperti bunga tekat dan ia menjadi tarikan.

“Selawat yang memenuhi ruang masjid ini ada yang dicetak dengan mesin cetak dan ada ayat al-Quran yang ditulis tangan sepenuhnya pada marmar di bahagian mimbar.

“Ini menunjukkan kehalusan hasil kesenian tangan dan kaligrafi Islam yang sangat menarik,” katanya.

Beliau berkata, di bahagian atas masjid mempunyai pejabat dan bilik mesyuarat manakala ruang bawah adalah ruang solat utama yang berhawa dingin dan terbuka.

Katanya, di bahagian anjung belakang dirancang untuk membina jeti bagi bot atau sampan untuk memudahkan sebarang urusan seperti kematian dan membawa jenazah terus ke masjid untuk disembahyangkan.

“Bukan sahaja fungsi utamanya sebagai tempat beribadat dan majlis ilmu atau ceramah ia turut menjadi salah satu lokasi wajib dilawati apabila berkunjung ke Pulau Pangkor.

“Malah, tidak keterlaluan jika ia diibaratkan sebagai ikon Pulau Pangkor dan Perak kerana Masjid Al- Badr Seribu Selawat adalah masjid terapung pertama di negeri ini selain menampilkan kelainan dengan dipenuhi selawat di setiap ruangnya,” katanya.

Norazamai berkata, masjid itu juga menunjukkan konsep mirip masjid di Turki dan Timur Tengah melalui kubah dan seni binanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 12:43 PM