Kuala Lumpur: Proton Holdings Berhad (Proton) akan menawarkan pelbagai promosi diskaun hebat bagi pembelian barangan terpilih alat ganti tulen dengan potongan harga sehingga 50 peratus daripada harga asal, 20 peratus (barangan R3) dan 30 peratus (barangan jenama Proton Lifestyle) bersempena Karnival Alami Proton pada 2 hingga 5 April ini di Johor Bahru.

Menurut Proton, pengunjung karnival itu juga berpeluang mendapatkan pemeriksaan keselamatan kenderaan percuma bersempena Kempen Keselamatan Proton sepanjang tempoh penganjuran dan memandu uji pelbagai jenis model Proton termasuk Proton Iriz.

“Selain itu, pengunjung yang datang bersama keluarga berpeluang menikmati pelbagai aktiviti menarik seperti ‘gymkhana’, demonstrasi pasukan Proton R3, pameran interaktif, pertunjukan kereta dan persembahan pentas termasuk sesi penampilan khas oleh Upin & Ipin dan aktiviti mewarna untuk seisi keluarga,” katanya, semalam.

Proton akan menganjurkan Karnival Alami Proton bertempat di perkarangan letak kereta, Angsana Mall, Johor Bahru bagi mempromosikan jenama Proton dan barisan produk serta teknologi automotif khusus untuk warga Johor dan kawasan sekitar.

Acara yang diadakan bersempena Karnival Kemahiran Kebangsaan Zon Selatan dan Pertandingan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) 2015 adalah anjuran bersama Proton, Jabatan Pembangunan Kemahiran dan Kementerian Sumber Manusia.

Sementara itu, WSBM (dahulunya dikenali sebagai Pertandingan Kemahiran Malaysia atau PKM) yang dianjurkan bersama Karnival Alami Proton dan Karnival Kemahiran Kebangsaan Zon Selatan ini ialah hasil cetusan idea mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merangkap Pengerusi Proton.

PKM yang diperkenalkan 23 tahun lalu adalah satu inisiatif kerajaan yang diilhamkan bagi mengasah dan mengetengahkan bakat generasi muda dan belia dalam pelbagai bidang kemahiran industri, serta membina modal insan yang berkemahiran dan berpengetahuan tinggi serta bertaraf dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 8:41 AM