Denpasar: Seorang remaja perempuan yang dibicarakan atas tuduhan membunuh ibunya, melahirkan bayi di penjara, kata pegawai semalam.

Heather Mack, 19, yang berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan, dibawa dari Penjara Kerobokan ke hospital kelmarin.

Ketua Penjara Kerobokan, Sudjonggo berkata, Heather bersalin di hospital berkenaan petang kelmarin.

“Heather dan bayi perempuannya dalam keadaan sihat,” katanya.

Menurut Sudjonggo, Heather akan dibawa semula ke penjara seawal hari ini.

Jika tiada waris yang boleh menjaga bayi terbabit, kata Sudjonggo, anak Heather itu akan dibesarkan di penjara sehingga dia berusia dua tahun.

Untuk makluman, penjara di situ dikenali padat dengan banduan dan kotor, selain penyalahgunaan dadah meluas.

Heather dan teman lelakinya, Tommy Schaefer, 21, dibicarakan secara berasingan atas tuduhan membunuh Sheila von Wiese Mack, 62, pada Ogos lalu.

Mayat Sheila ditemui disumbat dalam beg pakaian dan ditinggalkan dalam sebuah teksi di depan pusat peranginan eksklusif di Bali. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2015 @ 5:16 AM