Seoul: Anak perempuan pengerusi syarikat penerbangan Korean Air yang dihukum penjara setahun, kelmarin, merayu terhadap keputusan itu.

Heather Cho Hyun-Ah (gambar), bekas naib presiden eksekutif syarikat berkenaan didapati bersalah atas tuduhan melanggar peraturan keselamatan dan menyerang seorang petugas kabin.

Dalam kejadian yang mendapat cemuhan orang ramai itu, Heather didakwa mengamuk dan mengarahkan ketua pramugara diusir dari pesawat berkenaan kerana tidak berpuas hati selepas dihidangkan kacang makademia dalam beg plastik, bukannya di dalam mangkuk.

Pasukan peguamnya berkata, semalam, mereka percaya hakim mahkamah daerah di Seoul yang menjatuhkan hukuman itu tersilap menafsir undang-undang penerbangan ketika membuat keputusannya.

“Rayuan dikemukakan di mahkamah tinggi, menggesa supaya keputusan dan hukuman yang dikenakan ke atas Heather dikaji semula,” kata seorang peguamnya yang enggan dikenali.

Pendakwa menuntut tertuduh dipenjara tiga tahun.

Bagaimanapun, hakim mengambil kira keadaan Heather yang mempunyai dua anak dan reputasi kerjayanya yang tercalar akibat kejadian berkenaan.

Sikap Heather mencetuskan kemarahan di Korea Selatan yang tidak berpuas hati dengan keangkuhan keluarga konglomerat atau ‘chaebol,’ yang menguasai ekonomi negara itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 5:15 AM