MARIA bakal berdepan Flavia selepas ini.
MARIA bakal berdepan Flavia selepas ini.
AFP

Indian Wells: Juara lima acara Grand Slam, Maria Sharapova memerlukan enam mata penamat sebelum menang 6-4, 6-3 ke atas Victoria Azarenka di pusingan ketiga kejohanan Indian Wells, kelmarin.

Bintang Russia berusia 27 tahun itu dilihat bakal menamatkan saingan pusingan ketiga dengan mudah tetapi juara Terbuka Australia, Victoria memilih untuk tidak mengalah begitu saja.

Victoria menyelamatkan empat mata penamat di perlawanan kelapan set terakhir serta satu lagi di perlawanan kesembilan sebelum gagal membalas pukulan kilas Maria.

“Dia melawan dengan sengit hingga mata penamat,” kata Maria mengenai Victoria.

Maria melangkah ke kelompok 16 terakhir dan bakal menentang juara bertahan Flavia Pennetta dari Itali.

Pertemuan kedua-dua pemain itu dianggap sebagai perlawanan ulangan final Indian Wells 2012 yang dimenangi Victoria.

Kedua-duanya sudah bertemu sebanyak 14 kali dan masing-masing memenangi tujuh daripadanya tetapi tiga perlawanan terakhir di ungguli Maria.

“Kami sudah kerap mengharungi perlawanan sengit sepanjang karier kami. Seronok menyaksikannya kembali bermain selepas dilanda kecederaan tahun lalu.”

Victoria yang diletakkan sebagai pilihan ke-32 kejohanan, berkata dia sudah mula mendapat kembali rentak permainan.

Aksinya kembali seperti dulu apabila melakukan servis kencang selain rali hebat tetapi hanya dirosakkan kesilapan mudah.

Victoria melakukan sembilan kesalahan berganda manakala 37 hantaran balasnya terkandas di jaring dan dia tewas dalam tempoh sejam 51 minit.

“Saya mencipta banyak peluang tetapi tidak mampu menyudahkan peluang itu,” kata Victoria yang hanya bermain sembilan kejohanan tahun lalu akibat kecederaan.

“Anda sepatutnya tidak boleh melakukan kesilapan begitu ketika menentang pemain seperti Maria.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2015 @ 5:24 AM