SERENA
SERENA

Indian Wells: Serena Williams melakukan tujuh ace untuk menang 6-2 6-2 ke atas Kateryna Bondarenko pada Terbuka BNP Paribas semalam dan bakal menentang juara bertahan Simona Halep pada suku akhir.

“Ia pasti menjadi perlawanan hebat untuk kami berdua bagi melihat di mana kedudukan sebenar kami,” kata Serena selepas perlawanan menentang pemain Romania itu di California.

“Saya sukakan gaya permainannya. Saya sukakan permainannya yang agresif. Sudah tentu saya perlu bersedia.”

Pemain nombor satu dunia dari Amerika Syarikat itu, yang juga pemilik 21 gelaran Grand Slam memburu gelaran pertamanya di Indian Wells sejak 2001.

Simona pula semakin hampir untuk mengulangi kejayaan tahun lalu apabila lawannya Barbora Strycova menarik diri sewaktu pemain nombor lima dunia itu mendahului 6-3, 1-0.

Pemain Romania itu hanya sekali menewaskan Serena sepanjang kariernya, menang 6-0, 6-2 pada peringkat kumpulan Kejohanan Akhir WTA 2014 yang ditebus pemain AS itu dalam aksi final berat sebelah.

Kedua-dua itu sepatutnya bertemu pada suku akhir kejohanan sama tahun lalu namun Serena terpaksa menarik diri sebelum perlawanan itu akibat kecederaan lutut.

“Saya sedar pastinya sukar untuk menang tapi masih berpeluang,” kata Simona.
- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 10:33 AM