AFP

Indian Wells, AS: Pemain nombor satu dunia Novak Djokovic melangkah setapak lagi dalam usaha mempertahankan kejuaraan Terbuka BNP Paribas di Indian Wells dengan kemenangan perit 6-4, 7-6 (7/5) ke atas pemain Amerika Syarikat, John Isner, semalam.

Djokovic berdepan kesukaran sebelum ini menentang Isner yang mempunyai kekuatan servis menakjubkan.

Namun juara Terbuka Australia itu berjaya menangani lawannya pada penentuan tie-break.

“John memiliki servis terbaik dalam permainan ini,” jelas Djokovic. “Sukar untuk menanganinya secara mental.

“Dia berpeluang pada set kedua tapi mujur saya berjaya melaksanakan tugas dalam straight set.”

Djokovic menempah pertembungan suku akhir dengan pemain ranking ke-35, Bernard Tomic dari Australia. Tomic menyingkirkan rakan senegara Thanasi Kokkinakis 6-4, 4-6, 6-4.

Djokovic kini memiliki kelebihan 6-2 dalam rekod pertemuan menentang Isner dengan sembilan set berakhir secara tie-break. Isner menang enam daripadanya jadi Djokovic berasa bertuah mara kali ini.

“Dengan saiz badan dan servisnya, dia boleh mengalahkan mana-mana pemain jadi saya amat gembira dengan kemenangan ini yang saya anggap besar,” kata Djokovic.

Juara empat kali Indian Wells, Roger Federer dari Switzerland memerlukan 69 minit sebelum mengetepikan pemain Amerika, Jack Sock 6-3, 6-2.

“Set pertama perlawanan yang amat bagus,” kata Federer. “Saya bermain baik sepanjang perlawanan dan mampu melakukan servis lebih bagus berbanding Jack hari ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:18 AM