Oleh Norhayati Nordin


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Januari lalu memutuskan bahawa PRISM Berhad (PRISM) didapati bertanggungjawab bagi pelanggaran hak cipta dan mengelirukan melalui representasi palsu.

Keputusan dibuat selepas perbicaraan penuh saman sivil difailkan Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan anak syarikatnya, Public Performance Malaysia Sdn Bhd (PPM) terhadap PRISM.

Sehubungan itu, PRISM didapati melanggar hak cipta PPM dalam dokumen pelesenannya dan mengelirukan orang ramai melalui representasi palsu mereka sebagai wakil pihak rakaman.

Pengerusi PPM, Darren Choy berkata, PPM mengalu-alukan keputusan mahkamah dan kesal bahawa PRISM tidak mengambil kesempatan untuk membetulkan kesalahan mereka sejak awal 2013, walaupun pelbagai peluang diberikan.

“Sebagai badan pelesenan yang diisytiharkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di bawah Peraturan-Peraturan Hak Cipta (Badan Pelesenan) 2012, kami mendapati ia sangat tidak beretika dan profesional bagi PRISM untuk melakukan aktiviti pelesenan berkaitan hak cipta bagi pihak ahli pelaku rakamannya kerana mereka sendiri sudah melanggar hak cipta dan melakukan kesalahan mengelirukan melalui representasi palsu kepada pengguna muzik,” katanya.

Pengerusi RIM, Norman Abdul Halim pula berkata, pertubuhan utama dalam industri muzik Malaysia seperti RIM, PPM, Music Authors’ Copyright Protection Berhad (MACP) dan Persatuan Karyawan Malaysia turut memberi sokongan penuh kepada Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) yang diisytiharkan oleh MyIPO sebagai sebuah badan pelesenan.

“Pengisytiharan RPM yang dibuat pada 6 Mac 2013 untuk mewakili pelaku rakaman dan ia amat malang sekali apabila pengiktirafan bertindih diberikan.

“Sejak itu, kucar-kacir mula berlaku dalam pasaran muzik Malaysia dengan timbulnya kekeliruan yang berleluasa akibat representasi hak pelaku yang bertindih dengan kemungkinan terjadinya pembayaran yuran lesen yang berganda.

“Tambahan lagi, PRISM juga mengenakan caj yuran pelesenan berkali-kali ganda lebih tinggi daripada kadar pasaran sedia ada dan menggunakan kaedah pengutipan yang dipersoalkan oleh pengguna muzik,” katanya.

Menurut Norman, keputusan mahkamah itu hanya mengesahkan keraguan RIM dan PPM dari dulu mengenai etika dan kesesuaian PRISM untuk bertindak sebagai sebuah badan pelesenan.

Bahkan, katanya, rayuan rasmi juga dibuat kepada Yang Berhormat Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan MyIPO untuk membatalkan pengisytiharan PRISM sebagai badan pelesenan.

Norman berkata, pasaran Malaysia tidak besar dan tentunya tidak memerlukan lebih daripada satu badan pelesenan bagi setiap kategori pemegang hak muzik.

“Ditambah pula, dengan situasi ekonomi yang tidak menentu, kami amat khuatir bahawa jika PRISM dibenarkan meneruskan aktivitinya, ia akan mengecewakan pengguna muzik komersial yang sah dan seterusnya mendatangkan kesan yang buruk kepada industri muzik Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.

Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan, orang ramai dinasihatkan untuk berhubung secara terus dengan pejabat PPM sekiranya terdapat sebarang keraguan berhubung pemberian lesen persembahan umum muzik untuk mengesahkan kesahihannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2015 @ 5:13 AM