FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) mengalu-alukan berita mengenai penyelesaian isu pengagihan royalti kepada pihak pelaku serta pembayaran pertama yang diterima penyanyi dan pemuzik daripada jumlah keseluruhan royalti tertunggak daripada Music Rights Malaysia (MRM).

Pemangku Pengerusinya, Rosmin Hashim berkata, mereka sedia maklum penyelesaian ini dapat dicapai hasil daripada beberapa siri rundingan dan perbincangan beberapa pihak.

"Ia membabitkan Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKHEP), Datuk Rosol Wahid; Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) selaku agensi kerajaan yang memantau badan-badan pelesenan, Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM) sebagai pelikuidasi tetap bagi menyelia bekas badan pelesenan Performers & Artistes Rights Malaysia (Prism), Recording Performers Malaysia (RPM) Berhad, Prism Performers Verification & Claims Committee (PPVCC) dan Jawatankuasa Pengurusan Music Rights Malaysia (MRM).

"Ia bagi menyelesaikan isu pengagihan bahagian royalti penyanyi dan pemuzik yang tidak dapat diagihkan oleh MRM sebelum ini.

"MRM ialah sebuah badan pelesenan bersama yang dianggotai Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP), Public Performance Malaysia (PPM) Berhad dan Recording Performers Malaysia (RPM) Berhad sudah dibubarkan pada 10 Julai tahun lalu.

"Kami amat menghargai usaha yang dilakukan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan dan kerjasama oleh badan-badan industri muzik dalam menyelesaikan isu ini," katanya.

Menurutnya, walaupun ada yang berpendapat bahawa isu ini sepatutnya diselesaikan dengan lebih awal, hakikat yang sebenarnya ialah terdapat banyak cabaran yang perlu diatasi bagi membolehkan penyanyi dan pemuzik menerima pengagihan royalti fasa pertama baru-baru ini.

"Pihak-pihak yang terbabit akan terus bekerja keras supaya pengagihan seterusnya dapat dilaksanakan secara berperingkat sehingga pengagihan terakhir daripada jumlah keseluruhan yang tertunggak dapat diselesaikan. "Ketika pendapatan ramai penggiat seni persembahan terjejas disebabkan kekurangan pekerjaan

akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan, kami berharap pembayaran royalti ini dapat membantu meringankan beban kewangan yang mereka hadapi," katanya. Pengagihan pertama berjumlah lebih RM500,000 oleh MRM (dalam pembubaran) sudah dibuat kepada RPM dan JIM selaku pelikuidasi bagi Prism untuk pengagihan seterusnya kepada ahli-ahli RPM dan Prism yang layak menerima imbuhan royalti.

Pengagihan royalti selanjutnya bahagian pihak pelaku (penyanyi dan pemuzik) yang tertunggak dari MRM dijangka akan dibuat dalam masa yang terdekat ini.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 6:37 PM