ROSOL Wahid (kiri) ketika mempengerusikan mesyuarat bersama badan pelesenan pungutan royalti di pejabat MyIPO, Menara UOA  Bangsar. Rosmin Hashim (kanan) dan M Nasir (dua dari kanan). FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
ROSOL Wahid (kiri) ketika mempengerusikan mesyuarat bersama badan pelesenan pungutan royalti di pejabat MyIPO, Menara UOA Bangsar. Rosmin Hashim (kanan) dan M Nasir (dua dari kanan). FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Lebih 1,000 penyanyi dan pemuzik yang terkesan dengan pembubaran konsortium Music Rights Malaysia (MRM) awal tahun ini, akan menerima pendahuluan pengagihan royalti sebanyak RM500 bermula awal Januari 2021.

   Perkara ini dipersetujui oleh Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) dan Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) yang mewakili Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (PRISM) dalam mesyuarat yang berlangsung di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) hari ini.

   Mesyuarat yang diselaraskan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selaku moderator dihadiri oleh Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid, Ketua Pengarah MyIPO, Mohd Roslan Mahayudin, Pengerusi Public Performance Malaysia (PPM), Rosmin Hashim dan Pengerusi Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP), Datuk M. Nasir.

   Rosol berkata, semua pihak berpuashati dapat mencapai kata sepakat yang menjadi berita menggembirakan. 

   "Kita diberi jaminan oleh RPM dan juga insolvensi berkenaan isu royalti yang bernilai lebih daripada RM11.7 juta akan diagihkan kepada penerima.

   "Mereka kini dalam peringkat terakhir untuk mengenal pasti pelaku-pelaku yang terbabit. Saya difahamkan pada minggu depan akan berlangsung mesyuarat antara RPM, PRISM dan MDI untuk menyelesaikan isu terbabit.

   "Kita harap dapat diselesaikan sebelum akhir Disember ini. Dijangkakan hampir 1,000 pelaku akan menerima RM500 sebagai permulaan," katanya pada sidang media yang berlangsung. 

   Menurutnya sejumlah RM500,000 akan dikeluarkan untuk tujuan terbabit.

   "Baki berjumlah RM11.2 juta lagi akan diberikan dari semasa ke semasa. Saya difahamkan ada lagi mereka yang dikesan oleh RPM dan PRISM.

   "Mungkin mereka akan tampil apabila mendengar perkara ini kerana mereka dah dapat sebahagian daripada royalti ini.

   "Saya difahamkan ada 1600 yang 'claim' sebagai ahli, namun ada diantaranya bertindih keahlian antara RPM dan PRISM dan ia perlu disusun. Kerja-kerja ini, agak makan masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 9:27 PM