Oleh Norhayati Nordin


Di kala industri muzik negara dihimpit masalah pasaran album yang lembap, duka itu ditambah dengan kerugian lebih 15 juta tahun ini membabitkan jumlah kutipan royalti persembahan awam.

Bahkan, kerugian besar yang meliputi lebih RM10 juta itu ditanggung Badan Persembahan Awam (PPM) manakala sekitar RM5 juta lagi membabitkan Badan Pelindung Hak Cipta Karyawan (MACP).

Permasalahan itu didakwa berpunca akibat kekeliruan berhubung kadar tetap kutipan royalti persembahan awam dikenakan ke atas pengguna rakaman muzik di negara ini.

Tidak terkecuali, kutipan juga dibuat kepada semua pe-ngusaha restoran dan hotel tempatan mengikut Akta Hak Cipta 1987 (akta 332) sudah ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan PPM, R Ramani Ramalingam berkata, yang pasti situasi kutipan royalti dipersoalkan itu kini semakin serius dan menjadi bualan hangat.

"Sejak beberapa bulan lalu, pelbagai laporan berhubung isu kutipan royalti persembahan awam ini mendapat liputan meluas media. Disebabkan kekeliruan berlaku, pihak pengguna rakaman muzik termasuk pengusaha restoran dan hotel tempatan yang dikenakan membayar royalti berasa tidak puas hati," katanya.

Apatah lagi, kekeliruan menjadi lebih parah apabila terdapat beberapa pihak dikata membuat tuntutan bayaran royalti muzik daripada mereka.

Justeru, ia menimbulkan rasa tidak puas hati daripada pihak yang berkaitan dalam pembayaran royalti itu termasuk pemain industri perniagaan seperti pengusaha restoran dan perhotelan.

Difaham-kan juga pihak berkaitan yang membayar royalti itu sudah mengemukakan pelbagai aduan dan keluhan mereka berhubung isu terbabit. Ramani berkata, tidak mahu lagi segala spekulasi mengenai kutipan royalti ditimbulkan maka pihaknya dengan kerjasama MACP berusaha keras menyelesaikan isu itu.

Ujarnya, saranan kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bersama Badan Pelesenan Muzik bagi menangani isu itu pun sudah dilakukan.

Namun hingga kini katanya, masih tiada perkembangan dan isu royalti tetap berbangkit tanpa kata putus dicapai.

"Masalah kutipan royalti ini perlu diselesaikan segera kerana ia membawa impak besar kepada industri muzik tempatan. Jika dibiarkan tanpa sebarang langkah penyelesaian, lama-kelamaan perkembangan industri akan terus lumpuh dan sukarlah proses pelaburan seperti penghasilan produk dilakukan.

"Sekarang pun, penjualan album fizikal memang merudum. Manakala, penjualan secara digital pula tidak lagi begitu meluas. Cuma kutipan royalti persembahan awam dibuat lebih bergantung ke atas pengguna rakaman muzik di negara ini termasuk pengusaha restoran dan hotel," katanya.

Menurut Ramani lagi, MyIPO sebelum ini sudah pun meluluskan tiga badan kutipan royalti, iaitu MACP mewakili komposer dan penulis lirik, PPM bagi syarikat rakaman dan Recording Performers Malaysia Bhd (RPM) untuk penyanyi dan pemuzik rakaman.

Namun, kini MyIPO juga meluluskan penubuhan satu lagi badan pelesenan iaitu Performers and Artistes Right (M) Bhd (PRISM) yang turut bertindak membuat kutipan royalti.

Secara tidak langsung, apabila beberapa badan perlesenan ditubuhkan atas tujuan sama untuk membuat kutipan royalti akhirnya menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati.

Ujar Ramani, pelang­gan rakaman muzik mendakwa mereka perlu menanggung kerugian kerana terpaksa membuat pembayaran berasingan kepada badan perlesanan itu.

Hadir sama pada sidang media diadakan di ibu kota baru-baru ini ialah Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez, Pengerusi RIM, Norman Abdul Halim dan Pengerusi PPM, Darren Choy.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 5:00 AM