Rosmin tidak mahu penyanyi dan pemuzik bimbang kutipan royalti. FOTO NSTP
Rosmin tidak mahu penyanyi dan pemuzik bimbang kutipan royalti. FOTO NSTP
Norhayati Nordin


PENGERUSI Public Performance Malaysia Sdn Bhd (PPM) yang juga Naib Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim memberitahu mahkamah memerintahkan Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (PRISM) membayar jumlah ganti rugi sebanyak RM2.9 juta kepada RIM.

Rosmin ketika dihubungi berkata ia berhubung kesalahan melakukan pelanggaran hak cipta borang-borang perlesenan PPM dan membuat representasi tidak benar terhadap ahli-ahli yang PRISM wakili.

“Bagaimanapun, selepas PRISM membuat rayuan sekitar awal tahun ini, mahkamah memerintahkan jumlah ganti rugi harus dibayar kepada RIM diturunkan kepada RM1.6 juta.

“Namun, jumlah yang sudah dirayu itu pun masih gagal dibayar hingga akhirnya mahkamah memutuskan supaya PRISM dibubar,” katanya.

Rosmin berkata meskipun PRISM dibubar, golongan penyanyi dan pemuzik di negara ini tidak perlu bimbang memikirkan hak kutipan royalti buat mereka.

Jelasnya, masih ada satu lagi badan bertanggungjawab boleh mengutip royalti untuk penyanyi dan pemuzik iaitu Recording Performers Malaysia Berhad (RPM).

“Sehubungan itu, saya menggalakkan semua pemuzik dan penyanyi di negara ini mendaftarkan diri dengan RPM.

“Ia bagi memudahkan segala urusan berkaitan royalti dapat dibuat oleh RPM dengan lebih teratur dan sistematik kepada pihak berkenaan.

“Secara tidak langsung, sudah pasti takkan ada nama ahli yang tercicir sekiranya sudah mendaftar di bawah RPM,” katanya.

Sebagai individu berpengalaman dalam industri muzik, Rosmin berkata beliau melihat dengan wujudnya satu pihak bertanggungjawab seperti RPM sudah cukup untuk menguruskan hal kutipan royalti bagi golongan pemuzik dan penyanyi.

Mengulas mengenai jumlah ganti rugi yang akan diterima oleh RIM, Rosmin berkata ia bergantung kepada jumlah aset yang PRISM miliki.

“Bagaimanapun, RIM mungkin tidak akan mendapat jumlah ganti rugi berkenaan jika jumlah aset PRISM tidak mencukupi,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan mahkamah mengeluarkan perintah ke atas PRISM berhubung kegagalan membayar hutang. Dalam perintah itu, PRISM juga dikehendaki membayar kos sebanyak RM5,000 kepada RIM.

Mahkamah juga mengarahkan supaya pegawai yang berkaitan dilantik untuk mengendalikan kes itu.

Apapun, isu mula timbul apabila PRISM dikatakan gagal membuat agihan sepatutnya kepada penerima.

Menurut makluman, mahkamah mengeluarkan perintah pembubaran PRISM dibuat pada tarikh 30 November 2018 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Disember 2018 @ 9:16 PM