Irfan harap kehadiran semula Indra Putra lonjak semangat FELDA di tempat lawan. Foto fail NSTP
Irfan harap kehadiran semula Indra Putra lonjak semangat FELDA di tempat lawan. Foto fail NSTP

Kuala Lumpur: Pengendali FELDA United, Irfan Bakti mengharapkan 'Magis Larkin' akan kembali berulang apabila mereka berkunjung ke Alor Setar bagi aksi timbal balik nanti.

Beliau mengakui walaupun ia bukan satu tugas mudah beraksi di tempat lawan namun yakin kehadiran semula perancang tengah berbisa, Indra Putra Mahayuddin yang digantung satu perlawanan sebelum ini, sedikit sebanyak akan membantu skuad 'The Fighters' meraih keputusan positif.

FELDA United sebelum ini melakar kejutan selepas mengejutkan juara Liga Super, Johor Darul Takzim 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada suku akhir kedua, 28 Ogos lalu untuk mara ke separuh akhir Piala Malaysia menerusi kemenangan agregat 3-2.

"Sembilan puluh minit di Stadium Darul Aman nanti akan menentukan segala-galanya dan kami akan menyerang (habis-habisan) untuk mendapatkan gol di tempat lawan," katanya.

Berkongsi pandangan sama, Thiago menyasarkan bermain dengan lebih baik apabila kedua-dua pasukan bertemu semula Ahad ini.

"Saya percaya kepada diri saya serta pasukan, dan berharap kami dapat melakukan sesuatu Ahad ini. Selepas seri 2-2 dalam perlawanan ini, saya lihat kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang sama, mara ke peringkat akhir," kata pemain penyerang berusia 25 tahun itu. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2015 @ 3:57 PM