Sepang: Hafiq Azmi (gambar) mencipta sejarah peribadi apabila berjaya menamatkan saingan Moto3 semalam di tempat ke-13 sekali gus memungut tiga mata pertama pada saingan musim ini ketika barisan pelumba negara gagal mempamerkan aksi cemerlang.

Kejayaan pelumba berusia 18 tahun itu sekali gus menyaksikan dia muncul pelumba terbaik negara bagi kategori itu.

Bagi pelumba SIC Ajo itu, ia pencapaian cukup bermakna selepas sering mencuba meraih mata pada 16 pusingan sebelum ini.

“Meraih mata pertama di tanah air sendiri sememangnya satu pencapaian yang amat saya harapkan.

“Sebelum ini, apabila berada di kelompok 15 terbaik, saya sering terjatuh dan gagal mengutip mata tapi hari ini (semalam), tuah memihak kepada saya,” katanya.

Sementara itu pelumba berpengalaman negara, Zulfahmi Khairuddin dari pasukan Ongetta-AirAsia pula gagal menamatkan perlumbaan apabila terjatuh seawal pusingan pertama.

Nasib sama menimpa pelumba wild-card negara Ramdan Rosli yang turut terjatuh pada pusingan pertama manakala seorang lagi pelumba wild-card negara Hafiza Rofa menamatkan perlumbaan di tempat ke-20.

Dalam kelas Moto2 pula, Hafizh Syahrin Abdullah yang beraksi bersama PET
RONAS Raceline Malaysia bermula baik apabila berada dalam kelompok 10 pelumba terpantas, bagaimanapun terjatuh pada selekoh ke-15 pusingan ke-10.

Insiden itu menyaksikan Hafizh gagal meneruskan rekod cemerlang di tempat sendiri selepas menduduki tempat ke-15 tahun lalu untuk meraih satu mata serta tangga ketiga pada 2012.

Azlan Shah Kamaruzaman (Idemitsu Honda Team Asia) yang turut beraksi menerusi saingan Moto2, sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-20.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 5:08 AM