URUS niaga hartanah dicurigai juga boleh menggunakan kaveat.
URUS niaga hartanah dicurigai juga boleh menggunakan kaveat.
Nurul Husna Mahmud


Kaveat antara istilah sering didengari membabitkan milikan hartanah yang mana pemilik atau bakal pemilik sendiri kurang jelas dengan maknanya.

Sehingga ketika mereka mahu melakukan urus niaga hartanah terbabit, didapati ada sekatan atau tidak boleh melakukan penukaran hak milik atau menjual hartanah terbabit kerana sudah di'kaveat'.

Kaveat merujuk mekanisme perundangan mencegah pendaftaran transaksi di bawah Kanun Tanah Negara (NLC) bertujuan melindungi pihak berkepentingan terhadap aset atau hartanah itu.

Malah, kaveat secara tidak langsung satu bentuk perlindungan yang melindungi hak pihak berhasrat membeli hartanah atau pemilik terhadap sesuatu aset terbabit.

Contohnya apabila individu ditawarkan membeli plot tanah tertentu dan sudah membayar deposit bagi pembelian terbabit.

Andaian ada kemungkinan pemilik asal bertindak mahu menaikkan kadar baharu kerana mendapat tawaran lebih baik daripada pembeli lain, individu terbabit boleh memohon kaveat bagi hartanah terbabit.

Kaveat juga mempunyai jenis tertentu bergantung kepada fungsi atau peranannya berdasarkan yang termaktub dalam Kanun Tanah Negara (Akta 56 1965).

TUNTUTAN boleh dilakukan menerusi perundangan walaupun tiada nama pada geran.
TUNTUTAN boleh dilakukan menerusi perundangan walaupun tiada nama pada geran.

1) Kaveat Pendaftar

(Registrar's Caveats) - Kaveat yang dimasukkan (didaftarkan) pendaftar tanah ke atas Dokumen Hakmilik (Document of Title).

Kaveat Pendaftar adalah lebih kepada melindungi kepentingan yang berkaitan harta milik hak kerajaan termasuk rizab tanah tertentu atau individu yang ada hak milikan tanah tertentu.

Misalnya ada urus niaga palsu atau penukaran hak milik tanah dicurigai mempunyai unsur penipuan berlaku ke atas hartanah terbabit.

Selain itu, jika hartanah terbabit bagi tujuan siasatan membabitkan agensi tertentu seperti pihak berkuasa tempatan termasuk polis, hartanah itu biasanya dimasukkan status kaveat.

2) Kaveat Persendirian

(Private Caveats) - Kaveat yang boleh didaftar atau dituntut individu atau badan persendirian yang mempunyai kepentingan ke atas sesuatu hartanah.

Kaveat jenis ini boleh didaftarkan sesiapa sahaja yang mempunyai kaitan kepentingan terhadap hak milik tanah itu walaupun bukan miliknya.

Contohnya adalah orang yang sudah membuat sebahagian pembayaran deposit untuk pembelian atau orang yang mempunyai perjanjian pajakan didaftarkan ke atas tanah itu.

Kes lain biasanya membabitkan status hartanah warisan yang mana waris lain turut menuntut hak sama walaupun tiada penama.

3) Kaveat Pemegang

-Lien (Lien-Holders' Caveats) - Kaveat yang didaftarkan individu atau sebuah badan yang mana memegang dokumen hak milik sebagai cagaran untuk tujuan tertentu seperti pemberian pinjaman (contohnya bank).

Kegagalan individu melunaskan ansuran pinjaman menyebabkan institusi kewangan menggunakan mekanisme untuk mendapatkan kembali pulangan wang.

4) Kaveat Amanah

(Trust Caveats)

- Kaveat ini hanya didaftarkan pendaftar terhadap sebarang tanah atau kepentingan yang dimiliki oleh seseorang individu atau badan sebagai pemegang amanah.

Biasanya membabitkan kes harta warisan atau status hartanah yang pemiliknya belum mencapai umur matang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 6:31 AM