GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Trend kenaikan harga emas di Malaysia mungkin akan berterusan, didorong oleh gabungan pelbagai faktor ekonomi global dan gelagat pelabur.

Ketua Pegawai Eksekutif Nubex Sdn Bhd, Mohd Faizal Mohd Nor berkata, pasaran emas sentiasa menjadi pengukur kepada sentimen ekonomi global, mencerminkan keyakinan dan ketidaktentuan.

Sejak kebelakangan ini, pasaran mengalami turun naik yang ketara berikutan gabungan ketegangan geopolitik, penunjuk ekonomi dan gelagat pelabur.

"Di Malaysia, faktor seperti prestasi ringgit, perubahan dalam dasar kerajaan seperti (cadangan) pelaksanaan cukai barangan bernilai tinggi serta landskap ekonomi yang lebih luas akan terus mempengaruhi harga emas," katanya kepada Bernama.

Lonjakan harga emas dikompaun oleh kelemahan Ringgit Malaysia berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), ini mengukuhkan peningkatan momentum dalam harga emas.

Beliau berpendapat harga emas lazimnya berkembang dalam persekitaran yang ditandai dengan kadar faedah yang rendah, tekanan inflasi atau kebimbangan terhadap penurunan nilai mata wang kerana logam berharga itu berfungsi sebagai pelindung nilai terhadap penyusutan nilai mata wang.

Pendirian Rizab Persekutuan AS yang agak mendatar termasuk dasar monetari akomodatif boleh menambah lagi tarikan emas sebagai penyimpan nilai alternatif, katanya.

Sejak dua bulan lepas, harga emas secara relatifnya kekal stabil disebabkan oleh dua faktor iaitu jangkaan inflasi serta ketegangan geopolitik yang berterusan di Timur Tengah dan konflik Rusia-Ukraine.

Namun katanya, selain daripada kebimbangan geopolitik, peniaga juga dirangsang oleh petunjuk positif seperti pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China, yang menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

"Peranan besar China dalam pembelian emas bermakna pemulihan dalam pertumbuhan ekonominya boleh mencetuskan permintaan kukuh untuk emas.

"Beberapa perkembangan penting juga berlaku, terutamanya daripada gergasi Wall Street. Citibank, misalnya, mengunjurkan bahawa berdasarkan momentum semasa, harga emas boleh melonjak kepada AS$3,000 satu auns," katanya. (AS$1=RM4.76)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 7:52 AM