ZULFAHMI bersama SIC lapan tahun. - Foto fail
ZULFAHMI bersama SIC lapan tahun. - Foto fail
Saiful Affendy Sapran


SELEPAS lapan tahun mendapat sokongan penuh daripada Litar Antarabangsa Sepang (SIC), jodoh Zulfahmi Khairuddin bersama SIC akhirnya berakhir bermula tahun depan.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali berkata, pihaknya tidak akan lagi menjadi penaja utama kepada pelumba kelahiran Banting, Selangor itu yang kini beraksi di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dalam kategori Superport bersama pasukan Orelac Racing.

Tegas Razlan, sudah tiba masanya untuk SIC menarik diri daripada menjadi penaja utama kepada Zulfahmi yang dilihat mengalami penurunan prestasi.

“Secara peribadi memang saya rasa sedih, tapi apa yang boleh kita lakukan.

“Selama lapan tahun kami menjadi penaja kepada Zulfahmi, saya lihat kariernya semakin menurun.

RAZLAN RAZALI. -Foto fail
RAZLAN RAZALI. -Foto fail

“Walaupun sepanjang tahun ini antara halangan utamanya adalah masalah jentera, tetapi apabila dia memperoleh pakej yang lengkap dan baik, dia masih gagal meraih keputusan yang memberangsangkan,” katanya.

Justeru jelas Razlan, tidak mungkin untuk SIC terus menjadi penaja kepada Zulfahmi pada tahun depan, tambahan pula bajet sedia ada akan digunakan untuk membentuk pasukan SIC Racing Team di saingan Moto2 pula.

“Memang kami tidak boleh teruskan untuk menajanya dan tiada perancangan untuk Zulfahmi tahun depan,” katanya.

Zulfahmi meraih pencapaian turun naik sepanjang lapan tahun SIC menajanya sejak 2009.

Antara pencapaian terbaiknya adalah pada 2012 ketika beraksi bersama bersama AirAsia SIC-Ajo yang di saingan Moto3 yang menyaksikannya menamatkan saingan musim itu tempat ketujuh kedudukan pelumba.

Musim itu juga menyaksikannya meraih petak pertama pada pusingan di Sepang serta menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

Zulfahmi sekali lagi meraih pencapaian membanggakan dengan menaiki podium kedua ketika beraksi di WSBK pada pusingan di Sepang tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2017 @ 5:38 PM