ZULFAHMI (tengah) mahu catat lebih pantas pada sesi kelayakan.
ZULFAHMI (tengah) mahu catat lebih pantas pada sesi kelayakan.
Oleh Saiful Affendy Sapran

Sepang: Di sebalik reputasi kurang gah bersama pasukan Ongetta-Airasia pada penampilan Grand Prix Motosikal Malaysia musim ini, pelumba Moto3 negara Zulfahmi Khairuddin memberi harapan kepada peminat tempatan apabila mencatat masa memberangsangkan pada dua sesi ujian bebas semalam.

Zulfahmi yang baru mendapat khabar gembira mengenai perpindahan ke pasukan SIC Racing Team musim depan, mencatat masa ke-18 terpantas pada sesi ujian pertama dan memperbaiki catatan itu pada sesi ujian kedua dengan catatan 2 minit 15.111 saat pada pusingan ke-10 untuk kedudukan ke-14 terpantas.

Catatan itu juga yang terbaik buat pelumba tempatan dalam kelas itu.

"Saya akan cuba mencatat satu saat lebih pantas pada sesi kelayakan esok (hari ini) dan mengharapkan cuaca panas pada perlumbaan sebenar.

"Saya yakin boleh mencatatkan masa lebih pantas kerana pasukan mempunyai strategi baik terutama daripada segi penggunaan tayar.

"Tiada tekanan di sini, sebaliknya saya sangat seronok berlumba di depan penyokong sendiri. Apapun saya akan berikan komitmen 200 peratus pada sesi kelayakan," katanya yang mengintai berada kelompok 10 pelumba terbaik pada sesi kelayakan hari ini.

Kali terakhir pelumba kelahiran Banting, Selangor itu beraksi di Sepang pada 2012 yang menyaksikannya menaiki podium kedua ketika bersama Red Bull KTM Ajo.

Tahun lalu, dia gagal beraksi pada perlumbaan sebenar kerana berdepan kecederaan pergelangan tangan.

Seorang lagi pelumba negara yang beraksi pada musim penuh, Hafiq Azmi mencatat masa ke-17 terpantas pada sesi ujian bebas pertama, tetapi prestasinya menurun di sesi kedua apabila mencatat masa ke-21 terpantas.

Seperti dijangka, dua lagi pelumba negara yang beraksi menerusi tiket wild card iaitu Hafiza Rofa serta Ramdan Rosli berada dalam kelompok belakang.

Hafiza berada di tempat ke-29 pada kedua-dua sesi latihan manakala Ramdan ke-32 pada sesi latihan pertama, tetapi memperbaikinya ke kedudukan ke-28 terpantas ketika sesi kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:03 AM