Sepang: Zulfahmi Khairuddin menganggap SIC Racing Team yang akan diwakilinya pada musim depan sebagai pasukan impian.

Pelumba dari Banting, Selangor itu yang menerima khabar gembira selepas perasmian pasukan itu semalam berkata, kini sudah tiba masanya dia membuktikan kemampuan sekali gus menepis keraguan ramai pihak mengenai prestasinya bersama pasukan Ongetta-AirAsia musim ini.

“Saya yakin boleh bersaing sekurang-kurangnya dalam kelompok 10 terbaik musim depan.

“Bersama pasukan baru, saya harap dapat lebih bermotivasi untuk pantas di litar,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali yang dia tidak boleh memberikan sebarang alasan jika gagal beraksi baik musim depan, Zulfahmi berkata, dia tidak boleh menjanjikan apa-apa, tetapi mengaku perlu memberikan yang terbaik untuk setiap perlumbaan.

“Saya yakin dengan adanya kru bagus serta jentera yang boleh memenangi perlumbaan berserta usaha berterusan, kita akan dapat kejayaan dimahukan.

“Apapun, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada SIC kerana banyak membuat perancangan untuk saya selama ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 5:05 AM