Amsterdam: Dua kekalahan berturut-turut dialami bukanlah permulaan diimpikan Luis Suarez bersama Barcelona, namun dia berpeluang untuk bangkit apabila turun beraksi di gelanggang lamanya Ajax awal pagi esok.

Pemain antarabangsa Uruguay itu menjaringkan 111 gol sepanjang empat musim dengan juara Belanda itu sebelum berpindah ke Liverpool pada 2011, namun masih gagal menyumbat gol sejak mencipta rekod perpindahan £75 juta (RM399 juta) ke Barcelona Julai lalu.

Trio penyerang bintang Barca, Suarez, Neymar dan Lionel Messi dikecewakan kecemerlangan penjaga gol Sergio Alvarez selain palang sebanyak empat kali ketika Celta Vigo merekod kemenangan pertama di Barcelona sejak 1941, Sabtu lalu, seminggu selepas Barca tumpas kali pertama dalam liga musim ini di tangan Real Madrid.

"Perlawanan menentang Ajax sangat penting ketika ini," kata Suarez yang bermain sepanjang 90 minit menentang Celta buat kali pertama sejak digantung empat bulan kerana menggigit pemain Itali di Piala Dunia.

"Kelab ini memberikan sepenuh kepercayaan kepada saya.

"Saya banyak belajar dan akan selalu berterima kasih atas sokongan itu. Untuk kembali dan bermain dalam Liga Juara-Juara dengan Barcelona sesuatu yang hebat."

Jika Barca menang di Amsterdam Arena dan Paris Saint-Germain pula menewaskan APOEL Nicosia di gelanggang sendiri, kedua-dua pasukan teratas Kumpulan F itu mara ke pusingan kedua dengan baki dua perlawanan.

Bagaimanapun, anak buah Luis Enrique tidak boleh memandang rendah keupayaan Ajax yang tumpas sekali musim lalu di ibu kota Belanda itu 1-2 meskipun beraksi 10 pemain hampir sepanjang separuh masa kedua.

"Mereka bermula garang dan mendominasi sepenuhnya aksi pada awal permainan," kata pemain tengah Sergio Busquets.

"Apabila mereka terpaksa bermain 10 orang dan kami menjaringkan gol, permainan kembali berubah. Kami harap ia tidak berlaku lagi."-AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 5:01 AM