Tamadun sesuatu bangsa selalunya dapat dilihat pada warisan seni budayanya. Justeru tidak hairanlah kebanyakan peneraju fesyen dunia masih mengekalkan inti pati warisan budaya dalam kebanyakan rekaan fesyennya.

Songket sejak berzaman sinonim dengan budaya Melayu sebagai pakaian pilihan golongan bangsawan dan kerabat diraja kerana fabriknya yang mewah serta eksklusif.

Songket turut menjadi persalinan untuk meraikan upacara istimewa antaranya majlis berkhatan, istiadat diraja dan semestinya saat bergelar raja sehari.

Pemakaian persalinan yang dibuat daripada songket dengan benang emas ini melambangkan status yang tinggi dalam masyarakat.

Sesuai dengan gelaran raja sehari, tidak lengkap pasangan mempelai duduk cantik di pelamin tanpa menggayakan songket.

Bagaimanapun, song-ket semakin sepi daripada senarai pengantin moden. Kebanyakannya lebih gemar persalinan daripada helaian satin yang berwarna-warni dan lebih mudah dipakai berbanding kilauan benang emas serta perak pada songket.

Faktor berat pada fabrik juga mula diberi perhatian, di mana rata-rata persalinan songket lebih berat berbanding helaian satin dan sifon.

Pengasas Asri Bridal Gallery berusaha mengembalikan kegemilangan songket menerusi koleksi busana pengantin terkininya.

Sesuai dengan taraf songket itu sendiri sebagai pakaian diraja, rekaan si pengasasnya memaparkan pilihan songket tenun dalam variasi rona mewah.

Seiring dengan trend terkini, gaun pengantin direka dengan inspirasi moden, tetapi masih mengekalkan beberapa potongan klasik.

Selain boleh dilihat di ruang pameran Asri Bridal Gallery yang terletak di Kompleks Teruntum, Kuantan, Pahang, koleksi songket anggun ini juga dapat disaksikan di Karnival Kerja Kahwin 2014 di Berjaya Megamall Kuantan pada 10 hingga 12 Oktober ini.

Untuk maklumat lanjut boleh layari www.facebook.com/asribridalgal-lery.

Gambar ihsan Ramzul Isyraf Abd Mujib dari Tom Ramzul Photography (www.adindafoto.com).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Oktober 2014 @ 7:07 AM