PERSALINAN potongan peplum, tradisional ataupun gaun labuh tampak menarik dengan tambahan perincian bagi menyerikan penampilan.
PERSALINAN potongan peplum, tradisional ataupun gaun labuh tampak menarik dengan tambahan perincian bagi menyerikan penampilan.
Hajahfarhana Tarmudi


Kemeriahan majlis resepsi dengan kunjungan sanak-saudara dan sahabat-handai pastinya tidak lengkap tanpa mengenakan persalinan yang anggun.

Bergelar ratu dan raja sehari, penampilan yang istimewa dan lebih menonjol sangat penting untuk memastikan mereka tidak tenggelam apabila bersanding di atas pelamin.

Rekaan persalinan yang diperbuat daripada fabrik mewah seperti songket dan broked menjadi permintaan kebanyakan bakal pengantin yang gemarkan konsep kontemporari.

Pengarah Urusan Rins Suzana, Rudy Iswadie Ismail berkata, bermula akhir tahun lalu semakin ramai pengantin gemarkan busana menggunakan fabrik songket dan broked untuk digayakan pada majlis perkahwinan mereka.

“Pelbagai pilihan songket boleh direka mengikut cita rasa bakal pengantin sama ada rekaan yang ringkas ataupun sarat. Jika mahukan keringkasan, fabrik renda 3D digunakan secara minimum bersama kain songket.

“Namun, jika inginkan penampilan yang lebih menonjol penggunaan kain renda dan tambahan batu berlian digunakan untuk gaya glamor dan anggun.

“Selain itu, ada juga rekaan menggunakan fabrik songket yang dimodenkan seperti gaun untuk perempuan manakala pengantin lelaki akan mengenakan jaket songket,” katanya.

Rekaan persalinan berpotongan peplum, tradisional ataupun gaun labuh tampak menarik direka menggunakan fabrik songket dengan tambahan perincian dan material lain bagi menyerikan penampilan.

Ada yang mahukan persalinan yang ditempah khas dan tidak kurang juga sekadar menyewa. Semua itu boleh dipilih oleh pengantin mengikut kemampuan belanjawan masing-masing kerana setiap rekaan akan dijahit sendiri oleh penjahit khusus di butik berkenaan.

Disebabkan fabrik songket lazimnya mempunyai corak yang pelbagai dan berwarna terang, setiap bakal pengantin lelaki serta perempuan dibantu mendapatkan rekaan yang sesuai dengan rona kulit, saiz badan dan ketinggian bagi mengelakkan penampilan tampak cacat di atas pelamin.

“Biasanya kami berbincang terlebih dulu mengenai rekaan diinginkan pelanggan. Jika saiz badan besar, kami tidak menggalakkan mereka memilih songket bercorak besar atau terlalu sarat.

“Selain itu, pemilihan warna juga sangat penting agar padanan rona yang dipilih senada dengan ton kulit untuk penampilan yang sempurna.

“Rekaan persalinan sangat dititikberatkan. Jika pengantin mahukan persalinan dengan layah panjang dan meleret, kami pastikan lokasi majlis.

“Selain itu, ada juga layah yang boleh dibuka bagi memudahkan pengantin bergerak dan berjumpa sanak-saudara atau teman selepas majlis tamat,” katanya.

Jika gemarkan rona pastel, bakal pengantin boleh memilih persalinan yang direka menggunakan fabrik broked. Selain menghasilkan persalinan, bakal pengantin juga boleh menempah rekaan kasut untuk penampilan senada di butiknya yang terletak di Taman Permata, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2016 @ 6:32 AM