IPOH: Perak muncul negeri paling banyak menerima kedatangan pelancong domestik iaitu sebanyak 6.02 juta pengunjung tahun lalu, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pelancongan, Kebudayaan negeri, Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Beliau berkata, pencapaian itu adalah petanda positif bagi Perak yang sebelum ini menyasarkan kedatangan sebanyak lima juta pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

"Perak mempunyai keindahan alam semulajadi selain kaya dengan sejarah dan warisan yang menjadi tarikan pelancong tempatan dan luar negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) 2015 di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara tempat pelancongan menarik di Perak ialah Zoo Taiping dan Night Safari, Taman Negeri Royal Belum, Gua Tempurung serta Kuala Kangsar Bandar Diraja.

Dalam perkembangan lain, Tourism Malaysia Perak menyediakan risalah versi baharu 'Perak Food Trail Siri Tiga' dengan memaparkan 89 premis makanan menarik di negeri berkenaan.

Pengarahnya, Ibrahim Siddiqi Talib berkata, pihaknya mengambil inisiatif tersebut sebagai usaha memperkenalkan masakan Perak bersempena dengan MATTA Fair 2015 yang diadakan selama tiga hari, mulai hari ini.

"Melalui risalah ini, pelancong domestik dan antarabangsa yang melancong ke negeri ini akan mendapat informasi berkaitan restoran yang menawarkan pelbagai jenis menu dan resepi masakan negeri Perak.

"Ia juga secara tidak langsung dapat menarik lebih banyak pelancong domestik dan antarabangsa ke Perak bersempena dengan 'Malaysia Year of Festival 2015'," katanya.

Bagi tujuan promosi dan pengenalan kepada pelancong, beliau berkata Tourism Malaysia Perak akan melabelkan restoran berkenaan dengan pelekat khas bagi memudahkan mereka mengenalinya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 9:35 PM