ASKAR Israel di pangkalan tentera di kawasan berhampiran sempadan Lubnan dan Syria. FOTO AFP
ASKAR Israel di pangkalan tentera di kawasan berhampiran sempadan Lubnan dan Syria. FOTO AFP
AFP

Damsyik: Israel menyerang tentera Syria di selatan negara yang dilanda perang itu setelah mengesyaki kawasan itu menjadi kubu pejuang Hizbullah, menurut sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pemantau perang semalam.

Pemantau Hak Asasi Syria yang berpangkalan di United Kingdom (UK) yang mempunyai rangkaian sumber luas di negara itu berkata, kedengaran bunyi letupan kuat di wilayah Quneitra, Syria, selepas Israel melancarkan serangan terhadap kedudukan tentera negara itu.

Menurut NGO itu, bunyi kuat turut kedengaran di Bukit Golan, sebuah wilayah Syria yang diduduki Israel sejak 1967, namun tidak menyatakan sumber laporan.

Berikutan serangan di Quneitra, NGO itu mendakwa ia mengakibatkan kerosakan harta benda. Setakat ini, media rasmi Syria belum menyiarkan laporan mengenai serangan berkenaan.

Berdasarkan kenyataan tentera Israel di akaun media sosial X, serbuan bertepatan dengan pendirian pihaknya yang akan melancarkan serangan terhadap 'kedudukan pejuang Hizbullah' yang dianggap pengganas selain menjadi sekutu rejim Syria dan musuh Israel di Lubnan, bersempadan dengan Bukit Golan.

Sejak serangan besar-besaran pejuang Hamas ke atas Israel 7 Oktober lalu, serangan kumpulan Hizbullah dan tentera Israel juga meningkat di sekitar kawasan sempadan Israel-Lubnan.

Pertempuran di kawasan itu mengakibatkan sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh, kesemuanya di pihak Lubnan.

Kebanyakan yang maut adalah pejuang, termasuk 10 dari kumpulan Hizbullah. Tidak terkecuali seorang wartawan Reuters dan dua orang awam. Di pihak Israel, sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh.

Pada 10 Oktober lalu, buat kali pertama sejak serangan mengejut oleh Hamas, tentera Israel bertindak melancarkan tembakan ke arah Syria dari Bukit Golan, sebagai tindak balas terhadap peluru ditembak ke wilayah itu.

Pada Sabtu lalu, Israel melancarkan serangan udara yang menyasarkan lapangan terbang Aleppo, mencederakan lima orang dan mengakibatkan fasiliti itu lumpuh.

Memetik laporan media kerajaan dalam kejadian Khamis lalu, Israel bertindak melancarkan serangan terhadap lapangan terbang di Aleppo dan Damsyik yang dikawal oleh kerajaan Syria, mengakibatkan kedua-dua kemudahan itu tidak boleh beroperasi.

Israel dikatakan jarang mengulas mengenai serangan individu dilakukannya ke atas Syria, namun berulang kali menegaskan pihaknya tidak akan sesekali membenarkan musuh ketatnya iaitu Iran yang menyokong Syria meluaskan jejak ke negara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2023 @ 11:19 AM