ANGGOTA penyelamat membawa mayat kanak-kanak yang terbunuh dalam serangan udara di Tariq al-Bab di Aleppo.
ANGGOTA penyelamat membawa mayat kanak-kanak yang terbunuh dalam serangan udara di Tariq al-Bab di Aleppo.
AFP

Beirut: Lebih 60 orang awam terbunuh dalam serangan udara dan roket di barat laut Syria kelmarin, beberapa jam sebelum gencatan senjata tiga hari sempena sambutan Aidilfitri berakhir, kata kumpulan pemantau semalam.

Pertempuran masih tercetus sejak gencatan senjata diumumkan pada Rabu lalu terutama di bandar Aleppo.

Pemantau Syria untuk Hak Asasi Manusia berkata, 34 orang awam termasuk empat kanak-kanak terbunuh dan 200 lagi cedera selepas kumpulan penentang melancarkan serangan roket ke kawasan dikuasai kerajaan.

Agensi berita rasmi SANA melaporkan 23 maut dan menuduh kumpulan penentang mencabuli gencatan senjata.

Sejak 2012, bahagian barat di Aleppo dikuasai tentera kerajaan manakala kumpulan penentang menguasai bahagian timur.

Wartawan AFP di timur Aleppo memberitahu, serangan udara tentera kerajaan kelmarin menyebabkan enam orang awam terbunuh termasuk tiga kanak-kanak.

Tentera kerajaan dilaporkan semakin menghampiri jalan Castello, satu-satunya laluan penghantaran bekalan ke kawasan dikuasai kumpulan penentang.

“Serangan roket dan mortar daripada kumpulan penentang adalah serangan balas terhadap kemaraan tentera kerajaan ke jalan Castello,” kata pengarah kumpulan pemantau Syria, Rami Abdel Rahman.

Sementara itu, sekurangnya 22 orang awam terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam serangan udara di bandar Darkush yang dikuasai al-Qaeda.

“Jumlah mangsa yang maut mencecah 22 orang, termasuk seorang kanak-kanak dan tujuh wanita,” kata Rami.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2016 @ 5:11 AM