NASIB malangnya ketika bersama Mourinho kini berulang dengan Van Gaal.
NASIB malangnya ketika bersama Mourinho kini berulang dengan Van Gaal.

Di Stadium Liberty Sabtu lalu, Juan Mata (gambar) bangkit dari bangku simpanan de­ngan baki perlawanan 11 minit, berharap dapat mengubah nasib Manchester United yang akhirnya kalah di tempat lawan.

Namun dia bukan pemain pilihan Louis van Gaal sebaliknya, pengurus kelahiran Belanda itu lebih senang menurunkan Antonio Valencia dan Ashley Young lebih awal, dan kemudiannya memburu mata penyamaan.

Mata tiba di Old Trafford 13 bulan lalu pada harga £37.1 juta (RM207.3 juta) bagi menyekat United daripada terus menjunam di bawah kendalian David Moyes namun kini dia bagaikan pemain terpinggir seperti ketika berada di bawah kendalian Jose Mourinho pada hari-hari terakhir bersama Chelsea.

Begitu mudah untuk melupakan betapa hebatnya Mata sepanjang dua tahun di Liga Perdana Inggeris sebelum ketibaan Mourinho yang menandakan masanya di Stamford Bridge semakin berakhir.

Memakai jersi No 10, Mata menjadi penggerak kreatif skuad Chelsea yang menakluk Eropah sewaktu Liga Juara-Juara 2012 (Mata mencipta peluang jaringan di final), menjuarai Piala FA di Wembley (Mata mencipta gol pembukaan Chelsea) dan menjulang trofi Liga Europa pada 2013 (sepakan sudut Mata menyumbang kemenangan).

Pada musim kedua, dia menyumbang 20 gol dan 35 bantuan jaringan dalam semua kejohanan.

Kegagalannya mendapat tempat di bawah Mourinho memberi manfaat kepada United. Moyes segera menyambarnya dengan harga rekod kelab ketika itu dan selepas bermula agak perlahan, Mata menjaringkan enam gol dalam enam perlawanan terakhirnya musim itu.

Bagaimanapun Van Gaal tidak mempunyai pandangan sama terhadap Mata seperti Moyes atau Andre Villas-Boas, Roberto Di Matteo dan Rafa Benitez yang turut meng­kagumi pemain Sepanyol itu. Sikap Van Gaal menggambarkan sikap bekas anak muridnya, Mourinho.

Dia memuji Mata November lalu tetapi sebelum itu berkata dia tidak berpuas hati dengan pemain berusia 26 tahun itu.

“Kami bermain dengan baik tetapi kami masih boleh meningkat dan saya tidak berpuas hati dengan (Wayne) Rooney sebagai penyerang dan Mata sebagai pemain tengah dan itulah sebabnya saya melakukan rombakan,” kata Van Gaal.

Sistem yang kerap berubah serta banyak pilihan penyerang, Van Gaal mahu pemainnya memberikan lebih daripada apa disumbangkan Mata dan itulah sebabnya Angel di Maria sentiasa berada di depannya biarpun prestasinya tidak menepati nilai £59.7 juta (RM333.7 juta).

Di Swansea, Mata hampir menggalas tugas sebagai quaterback, mengemudi serangan United dari jauh sewaktu cuba menembusi kubu pertahanan tuan rumah. Ia tidak menjadi.

Mata mencipta satu peluang tetapi United gagal menemui gawang dan berdepan kekalahan liga kelima musim ini.

Pemain Sepanyol itu kekal popular dengan pe­nyokong Old Trafford, jaringannya masih di bawah Robin van Persie dan Rooney di kalangan pemain United tetapi ada kemungkinan dia mampu melakukan lebih daripada itu bila keadaan semakin mencabar.

Jaringan terakhirnya mengubah nasib United ketika berdepan Crystal Palace, awal November lalu.

Satu perkara yang pasti adalah jika Van Gaal mampu mencari jalan menggunakan bakat Mata, dia mempunyai pemain hebat yang hampir membawa Chelsea ke empat tangga teratas secara solo pada 2013. Sudah pasti Van Gaal mahu ia menjadi kenyataan Mei nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Februari 2015 @ 12:48 PM